suria

Polis jumpa enam motosikal curi yang cuba diseludup

PORT DICKSON: Polis menjumpai semula enam motosikal bernilai kira-kira RM24,000 yang dilaporkan hilang, dalam satu serbuan di pantai KM16 Pasir Panjang dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Mazlan Othman berkata polis turut menahan dua lelaki warga asing berumur antara 19 dan 20 tahun yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dalam serbuan kirakira pukul 3.30 pagi itu.

Beliau berkata keduadua lelaki warga asing tersebut dipercayai sedang menunggu bot untuk menyeludup enam motosikal yang dicuri di Malaysia itu ke Sumatera, Indonesia.

"Bagaimanapun dalam serbuan itu, empat lelaki lain yang dipercayai warga asing sempat melarikan diri di kawasan pantai berpaya itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mazlan berkata polis menemui enam motosikal di kawasan semak berdekatan dan hasil siasatan mendapati motosikal itu dilaporkan dicuri di beberapa kawasan di Selangor, awal tahun ini.

Beliau berkata polis percaya mereka adalah sebahagian anggota sindiket curi motosikal, dan menurutnya semasa diserbu mereka disyaki sedang menunggu isyarat dari bot di tengah laut untuk membawa motosikal ke negara jiran.

Katanya walaupun kawasan pantai daerah ini sepanjang 56 kilometer, Pasir Panjang dan Lukut menjadi tumpuan penyeludup motosikal curi dan kegiatan itu biasanya berlaku antara pukul 3 dan 5 pagi.

Katanya pantai Pasir Panjang yang berpaya dan berbatu karang menyebabkan bot Polis Gerakan Marin sukar menghampiri kawasan itu, manakala penyeludup yang menggunakan bot pancung mahir selok belok pantai itu dan mampu mengelakkan batu karang untuk tiba ke pantai.

"Polis masih menyiasat modus operandi sindiket terbabit. Berdasarkan siasatan awal, jenis motosikal yang dicuri bergantung kepada permintaan di negara jiran. Antara yang laris di pasaran sana ialah Yamaha Lagenda dan Honda EX5, iaitu motosikal empat lejang," katanya. BERNAMA

Artikel Lain