suria

Pemuda PAS ajak Pemuda Umno adakan wacana ilmiah

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS menjemput Pergerakan Pemuda Umno Malaysia untuk mengadakan wacana ilmiah bagi membincangkan isu-isu yang menjadi polemik di negara ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi menyerahkan surat jemputan untuk mengadakan wacana itu kepada Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim yang mewakili Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin di lobi Parlimen hari ini.

Nasrudin berkata, perkara-perkara yang akan difokuskan dalam wacana itu adalah berhubung isu-isu berbangkit termasuk soal prinsip dan hala tuju perjuangan bersama termasuk yang membabitkan umat Islam di negara ini.

"Ini adalah satu usaha ke arah membincangkan dan menyelesaikan masalah yang menjadi polemik dan krisis antara kedua-dua parti dan yang lebih penting untuk kebaikan rakyat.

"Kami sangat positif dan juga bersikap terbuka dalam apa jua suasana ke arah menangani isu bagi menyelesaikan masakah-masalah.

"Ini insya-Allah akan menjadi permulaan untuk kita lebih membanyakkan perbincangan dan juga menghidupkan budaya ilmiah dalam menyelesaikan masalah," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan perbincangan dengan Razali diiringi beberapa pemimpin Dewan Pemuda PAS dan Pemuda Umno kira-kira 15 minit di lobi Parlimen.

Nasrudin berkata, surat jemputan kepada Pemuada Umno itu perlu dijawab dalam masa tujuh hari dan sekiranya Umno menerima jemputan itu, pihaknya akan menubuhkan sekretariat khusus untuk wacana itu termasuk bagi menentukan format, keanggotaan, tajuk, masa dan tempat untuk ia diadakan.

Katanya, beliau telah mencadangkan tajuk "Wacana Ilmiah Terbuka: Benarkah Perjuangan Umno Tidak Bertentangan Dengan Islam", namun Razali meminta tajuk tersebut ditentukan kemudian mengikut kesesuaian kedua-dua pihak.

Ditanya sama ada wacana itu menjurus ke arah perbincangan perpaduan yang telah ditolak PAS sebelum ini, Nasrudin berkata, "Kita tengok macam mana".

Katanya, isu kerajaan perpaduan juga tidak boleh dibangkitkan dalam hal ini kerana wacana ini adalah untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku dalam negara.

Artikel Lain