suria

Najib mahu jadikan laman web 1Malaysia lebih interaktif

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau sedang memikirkan beberapa idea untuk menjadikan laman web 1Malaysianya lebih interaktif dan boleh diakses sedapat mungkin oleh semua rakyat Malaysia.

Katanya matlamat beliau ialah untuk memastikan agar perbincangan di 1Malaysia.com.my dapat diteruskan dengan cara yang sihat, sama ada antara rakyat dengan beliau, atau di kalangan pengunjung dan penyumbang kepada dialog ini.

"Kepada anda yang mengikuti blog saya dan kandungankandungan lain dalam laman web saya, dan pada mereka yang memberikan komen atau menyertai dalam tinjauan pendapat, terima kasih atas penyertaan anda itu dan saya berharap anda akan terus melakukannya," katanya dalam blog laman webnya di bawah tajuk "Sesi S&J Dalam Video".

Najib berkata beberapa minggu yang lepas beliau memilih beberapa komen yang dihantar ke blog dalam laman webnya dan memberikan respons.

"Sukacita saya katakan ia diterima dengan baiknya oleh kebanyakan anda semua. Saya sangat berhasrat untuk melakukannya lagi, InsyaAllah," katanya.

Perdana Menteri turut mempelawa orang ramai menyertai sesi video S&J di 1Malaysia.com.my.

"Bagi membolehkan anda ikut serta, anda perlu merakamkan video pertanyaan anda. Muat naikkan rakaman itu ke laman web pengehosan media, dan emelkan pautan ini ke [email protected].

"Anda juga boleh menghantar video terus melalui emel. Saya akan membuat beberapa pilihan video ini dan membalas respons video saya dalam blog yang lain. Oleh kerana saya suka kalau dapat menyapa orang yang akan saya berikan jawapan saya dengan panggilan namanya, saya harap anda dapat memperkenalkan diri anda dalam video tersebut," katanya.

Najib meminta mereka meringkaskan soalan dan bertanya dengan tepat dan padat (kurang dari satu minit).

"Saya bercadang menghantar video respons saya itu pada awal Julai nanti dan dari semasa ke semasa selepas itu. Pastinya saya sedang menunggu untuk menjawab sebarang pertanyaan daripada anda semua," katanya. BERNAMA

Artikel Lain