suria

MP PKR Padang Serai terima SMS ugutan bunuh

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan hari ini mendakwa menerima dua khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur ugutan bunuh daripada seorang individu yang tidak dikenali.

Gobalakrishnan mendakwa, sms pertama diterima beliau kira-kira pukul 12.47 tengah malam tadi manakala yang kedua pada pukul 6.48 pagi ini.

Katanya, sms yang pertama berbunyi "Woi, Gopal hindu paraya...aku nak tembak hang. Kereta hang m.benz (Mercedes Benz) 1111 kami 'follow' je...hg (hang) nk (nak) tmbk (tembak) mati macam Joe Fernedas...hahaha".

Sementara itu, dalam sms kedua yang diterimanya pula tercatat "Kalo hg (hang) pi kat polis jaga...janji hang mati....keadilan parti XXXXXX."

Golabakrishnan berkata, beliau telah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan berharap pihak polis dapat menjamin keselamatan beliau dan keluarganya.

"Pihak polis sudah datang ke Parlimen pada jam 11.45 pagi tadi dan yakin ini bukan sms gurauan berikutan tiada penerangan lanjut mengenainya daripada si pengirim itu.

"Apabila saya cuba menghubungi talian itu semula, ia masuk ke peti pesanan suara.

"Saya tidak ingin perkara seperti ini meningkat di Manek Urai nanti dan jika ia berlaku satu lagi pilihanraya kecil terpaksa dijalankan lagi," katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika diminta mengulas perkara itu berkata, beliau telah menerima salinan laporan polis berhubung sms ugutan itu daripada Gobalakrishnan dan memberi jaminan akan mengambil tindakan lanjut.

"Saya beri jaminan padanya, saya akan melihat dan mengambil tindakan sendiri bagi memastikan keselamatannya terjamin.

"Kita punya kepakaran untuk siasat supaya perkara ini tidak dibenar menular," katanya.

Artikel Lain