suria

Laporan 10,000 pelarian dijangka diseludup dari Malaysia ke Australia tidak berasas

KUALA LUMPUR: Komander Pasukan Gerakan Marin Datuk Isa Munir semalam berkata laporan sebuah akhbar asing mengenai 10,000 pelarian dijangka diseludup keluar ke Australia melalui Malaysia adalah tidak berasas.

"Laporan itu tidak benar sama sekali, jangan hanya dengardengar tetapi buktikan," katanya ketika diminta mengulas laporan akhbar The Age.

Dalam laporan itu turut menyatakan kirakira 1,500 pelarian berdaftar telah tiba di Indonesia selepas menjadikan Malaysia sebagai transit sementara angka yang sama dilaporkan bagi pelarian tidak berdaftar.

Isa berkata laporan berkenaan tidak berasas memandangkan tiada sesiapa yang boleh menjangkakan jumlah yang akan diseludup kerana kesemua warga asing itu masuk ke negara ini secara sah.

"Saya tidak rasa ia benar, tidak mungkin seramai itu. Saya anggap itu hanyalah andaian. Lagipun bagaimana mereka hendak mengetahui tujuan rakyat asing itu ke negara ini.

"Bagaimanapun kita akan gunakan kekuatan dan sumber yang ada serta mencari resolusi sebagai formasi menyekat kegiatan berkenaan dari terus berleluasa," katanya ketika dihubungi di sini.

Pada 28 Jun lepas, seramai 36 warga Afghanistan dan enam warga Pakistan yang cuba diseludup keluar dari negara ini ditahan di perairan Selat Lumut dan Sungai Chondong di sini dalam operasi berasingan.

Kesemua lelaki berusia 22 hingga 59 tahun itu ditahan di dalam lima buah bot yang dipercayai dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Sumatera sebelum ke destinasi sebenar iaitu Australia pada pukul 11 malam dan 9.30 pagi. BERNAMA

Artikel Lain