suria

Isu agama: Nazri kecewa pindaan 3 akta tidak dapat dibentang hari ini

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, beliau secara peribadi kecewa kerana pindaan tiga rang undang-undang bagi menangani isu-isu berkaitan tukar agama tidak dapat dibahaskan di Parlimen sesi semasa sebagaimana telah dirancang.

Bagaimanapun Nazri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kerajaan memenuhi permintaan Majlis Raja-raja Melayu semalam yang mahukan lebih banyak masa untuk menghalusi pindaan berkaitan.

"Ya, saya kecewa... saya sebenarnya yakin rang undang-undang ini akan dibaca kali pertama, kali kedua dan ketiga pada sesi kali ini," kata beliau pada sidang media di Parlimen petang semalam.

"Anda boleh lihat wajah saya (gambarkan perasaan kecewa)," tambah baliau.

"Kami telah beranggapan bahawa tidak akan wujud sebarang masalah," kata Nazri sambil menambah, wujud perkara-perkara yang berada di luar kawalannya.

Jelas Nazri, selepas memberikan taklimat Majlis Raja-raja Melayu berpendapat pihaknya memerlukan masa selain mendapatkan pandangan susulan daripada Majlis-majlis Agama Islam Negeri.

"Kesemua isu dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Raja-raja kami telah jelaskan. Bagaimanapun mereka (Majlis Raja-raja memerlukan masa, kita beri," katanya.

Jelas Nazri, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak juga ada menghubungi beliau untuk memaklumkan pendirian Majlis Raja-raja Melayu.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin telah menghubungi Najib selepas mesyuarat petang kelmarin.

"Itu permintaan Majlis Raja-raja dan Perdana Menteri memaklumkan saya bahawa permintaan ini dipenuhi. Jadi, ia (rang undang-undang) tidak akan dibentangkan sesi ini walaupun, sebagai anggota jemaah menteri, saya merasakan ia harus dilakukan sekarang.

"Bagaimanapun mereka memerlukan masa untuk berbincang dengan Majlis Agama Islam Negeri, saya merasakan permintaan itu adalah munasabah," katanya.

Selain Nazri, turut hadir memberikan taklimat ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mejar Jeneral (B) Jamil Khir Baharom dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Pindaan membabitkan Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976, Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 dan Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Kata Nazri, beliau sebenarnya yakin bahawa rang undang-undang ini dapat dibahas dan diluluskan pada kali ini selepas persiapan selama ini dan pengumuman yang dibuat April lalu.

"Selepas ini saya tidak boleh mengatakan dengan yakin bila rang undang-undang ini akan dibentangkan...saya tidak tahu bila boleh...," katanya.

Sidang semasa Dewan Rakyat akan berakhir Khamis ini.

Beliau juga mengulangi bahawa tidak dapat memberi jaminan sama ada akan dapat dibentangkan menjelang Disember ini.

Bagaimanapun Nazri mengakui oleh kerana pindaan ini membabitkan undang-undang Islam, perkenan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam negeri masing-masing adalah diperlukan. Semalam Majlis Raja-raja memutuskan supaya pandangan Majlis Agama Islam Negeri diperoleh terlebih dahulu berhubung cadangan pindaan undang-undang yang berkaitan penukaran agama dan pindaan kepada undang-undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan).

Pada satu mesyuarat khas semalam, Majlis Raja-raja membuat keputusan untuk menangguhkan cadangan pindaan itu.

Pada 22 April lepas, Kabinet membuat keputusan bahawa anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin, walaupun ibu atau bapa mereka kemudiannya memeluk agama lain.

Kabinet berpendapat penukaran agama tidak boleh dijadikan alasan untuk membubarkan sesuatu perkahwinan secara automatik atau untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap anak-anak.

Jemaah menteri juga bersetuju mana-mana individu yang ingin menukar agama, perlu menyelesaikan semua masalah berkaitan tanggungjawabnya terlebih dulu, bagi mengelak pihak yang tidak bersalah, terutama kanak-kanak, menjadi mangsa.

Nazri menjelaskan, Kabinet mahu ketiga-tiga undang-undang berkenaan dipinda secara pakej walaupun salah satunya boleh dibentangkan.

Beliau juga memberitahu, apabila rang undang-undang berkenaan diluluskan di Parlimen ia akan dibawa untuk pindaan di peringkat negeri.

Artikel Lain