suria

Hina mahkamah: Bekas peniaga dipenjara tiga bulan

SHAH ALAM: Seorang bekas peniaga kayu dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana kesalahan menghina mahkamah melalui afidavit sokongan dalam saman yang difailkannya berhubung kes tuntutan harta peninggalan mendiang suami adiknya pada Februari 2007.

Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad membuat keputusan itu setelah mendapati Lee Heng Yau, 42, melalui afidavit sokongan itu telah membuat dakwaan yang melulu dan menjurus kepada tindakan menghina mahkamah serta menjatuhkan martabat empat hakim yang mendengar kes itu.

"Perbuatan anda telah menjatuhkan maruah hakimhakim terbabit dan ia adalah satu penghinaan yang amat berat. Anda mendakwa sebarang keputusan yang dibuat oleh mereka (hakim) dibuat secara salah, tiada unsur perikemanusiaan, berat sebelah, tidak adil dan dibuat tanpa pertimbangan yang wajar, sedangkan mereka hanya sekadar menjalankan tugas mereka sebagai hakim.

"Ini mesti dihentikan dan anda mesti bertanggungjawab kepada perbuatan anda menghina mahkamah. Saya dapati pihak pemohon telah berjaya membuktikan penghinaan yang dilakukan oleh anda dan oleh itu anda dijatuhi hukuman penjara tiga bulan," kata Hakim Syed Ahmad Helmy.

Beliau bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi memberi peluang Lee mengemukakan rayuan dan membenarkan lelaki itu diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin. Lee membayar jaminan itu.

Peguam Negara selaku pemohon diwakili Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh sementara Lee, selaku responden, yang pernah menggunakan khidmat empat peguam, mewakili diri sendiri selepas mendakwa tiada peguam yang mahu mewakilinya.

Heng Yau berdepan dengan prosiding menghina mahkamah selepas Peguam Negara berpendapat tindakannya memfailkan saman pemula pada 21 Feb 2007 berhubung kes tuntutan harta peninggalan mendiang suami adiknya, Lee Heng Moy, sebagai tindakan mengaibkan dan menjatuhkan martabat hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Lee yang berpendidikan sehingga darjah enam, memfailkan saman pemula itu terhadap empat hakim iaitu Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk Mokhtar Sidin, Datuk Hashim Yusof dan Datuk Zulkifli Ahmad Makinudin selepas berpendapat semua hakim itu tidak memihak kepadanya dalam kes Heng Moy, 41.

Terdahulu, Amarjeet berhujah walaupun Lee telah memohon maaf tetapi permohonan maafnya itu tidak memadai kerana dia masih bertegas bahawa dia tidak melakukan kesalahan menghina itu.

"Perbuatannya (menghina mahkamah) amat serius kerana melibatkan empat orang hakim dan justeru, kami memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman penjara supaya menjadi pengajaran yang setimpal dengan kesalahannya," katanya.

Lee semasa merayu bagi hukuman ringan berkata dia tidak pernah berniat untuk menghina sesiapa dan tindakannya memfailkan saman itu hanya bertujuan untuk meminta nota keterangan serta alasan penghakiman. "Saya memang tidak ada hati nak hina atau aniaya sesiapa dan kalau saya buat silap, saya minta maaf," katanya.

Lee sebelum ini pernah dikenakan bon berkelakuan baik selama 12 bulan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mariana Yahya pada 23 Mei 2007, kerana telah melanggar Seksyen 37 Akta Profesion UndangUndang 1976 iaitu mengendalikan kes Heng Moy sebagai seorang peguam sedangkan dia tidak mempunyai sebarang kelayakan guaman.

Pada 21 Mei tahun lepas, Heng Moy, seorang suri rumah, juga dihukum penjara tiga bulan oleh Hakim Syed Ahmad Helmy selepas mahkamah mendapati tindakan Heng Moy memfailkan usul pemula agar seorang hakim Mahkamah Tinggi Sivil yang mendengar kes tuntutan harta peninggalan mendiang suaminya dikenakan penjara, sebagai satu perbuatan yang mengaibkan.

Heng Moy telah memfailkan usul pemula supaya Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dikenakan tindakan ke penjara kerana beranggapan hakim berkenaan dalam satu keputusan berhubung kes sivil untuk menuntut harta peninggalan mendiang suaminya, telah tidak berlaku adil.

Heng Moy juga dalam afidavitnya mendakwa bahawa Hakim Alizatul tidak jujur serta melanggar Kod Etika Hakim 1994 dan ekoran itu, ibu tunggal kepada empat orang anak itu telah memfailkan usul tersebut pada 28 Jan tahun lepas, untuk mengenakan tindakan terhadap hakim berkenaan. BERNAMA

Artikel Lain