suria

H1N1: Pakar kesihatan WHO kemukakan cadangan menjelang musim haji

DUBAI: Orang tua, orang yang uzur, wanita mengandung serta kanak-kanak perlu mengelak daripada menunaikan haji dan umrah tahun ini di tengah-tengah peningkatan jumlah kes selesema babi di seluruh dunia.

Ini adalah antara cadangan yang dikemukakan dalam sebuah bengkel mengenai kaedah berjaga-jaga berkaitan kesihatan semasa musim haji dan umrah yang diadakan di bandaraya Jeddah, Arab Saudi semalam.

Arab News memetik Menteri Kesihatan Saudi Dr Abdullah Al-Rabeeah sebagai berkata pakar dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyertai bengkel itu berpuas hati dengan langkah berjaga-jaga yang diambil oleh negara itu untuk membendung penularan virus terbabit dalam kalangan jemaah haji dan umrah.

Beliau berkata bengkel itu mencadangkan supaya jemaah haji dan umrah, penduduk tempatan serta penyedia perkhidmatan di kota suci berkenaan perlu diberikan vaksin terhadap virus H1N1 sekurang-kurangnya dua minggu sebelum meninggalkan negara asal mereka.

Pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi dan delegasi haji yang mewakili pelbagai negara telah diminta menyimpan bekalan ubat-ubatan yang perlu untuk rawatan dan pencegahan virus yang mengakibatkan selesema babi.

Jemaah turut digesa supaya mengambil vaksin baru H1N1 apabila ia mula disediakan penghujung tahun ini, sebelum memulakan perjalanan mereka ke Arab Saudi.

Arab News berkata enam kes baru selesema babi dilaporkan di negara berkenaan, menjadikan keseluruhannya 81 kes yang dilaporkan. BERNAMA

Artikel Lain