suria

Dua TKM bertemu penduduk Kampung Buah Pala, demonstrasi di PJ dan Ipoh

PULAU PINANG: Kedua-dua Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang semalam turun padang untuk bertemu dengan penduduk setinggan Kampung Buah Pala yang telah diarahkan mengosongkan rumah mereka Khamis ini oleh pemaju manakala demontrasi berhubung isu sama turut diadakan di sini, di Petaling Jaya dan Ipoh.

Mansor Othman dan P. Ramasamy memberitahu penduduk kampung terbabit, dikenali sebagai High Chapparal Pulau Pinang, bahawa pemaju telah bersetuju memberikan tempoh sebulan untuk penduduk berpindah dan kerajaan negeri akan mencari jalan penyelesaian dalam tempoh itu.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang memihak kepada pemaju pada 11 Jun, menyebabkan 300 penduduk kampung yang mendiami 41 rumah di penempatan kaum India berusia 100 tahun itu tidak mempunyai pilihan selain mengosongkan rumah mereka menjelang Khamis ini seperti dikehendaki pemaju.

Selepas mengadakan perjumpaan dengan Mansor dan Ramasamy, seorang penduduk kampung itu A. Drabiam, 84, menggesa kerajaan negeri mengembalikan semula kawasan itu kepada penduduk sepertimana janji Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa kempen pada pilihan raya umum tahun lepas. Beliau mendakwa Anwar tidak pernah melawat kampung itu selepas pilihan raya itu.

Sementara itu, kirakira 100 penduduk kampung itu mengadakan perhimpunan secara aman pada kirakira 4 petang di Kompleks Tun Abdul Razak, tempat terletaknya pejabat Ketua Menteri Lim Guan Eng untuk menyerahkan memorandum kepadanya.

Mereka diarahkan ke Auditorium A, Tingkat 5, bangunan itu selepas diminta bersurai oleh pihak polis.

Setelah menunggu selama tiga jam, penduduk terlibat hampa apabila Lim tidak muncul walaupun telah diberi jaminan oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik bahawa Lim akan menemui mereka.

Penduduk terbabit bersurai pada kira-kira 7.15 malam selepas Mansor datang ke Komtar untuk mendengar saranan dan keluhan mereka.

Di PETALING JAYA, 11 individu yang mengaku anggota Hindu Rights Action Force (Hindraf) mengadakan demonstrasi di hadapan ibu pejabat DAP pada 3.40 petang sebagai memprotes bagi isu yang sama.

Bagaimanapun, lima minit kemudian mereka bersurai selepas diarahkan polis.

Pintu dan tingkap di ibu pejabat DAP ketika itu bertutup dan tiada petanda ada orang dalam bangunan itu. Selepas kumpulan itu beredar, pemimpin dan anggota Parlimen DAP Lim Kit Siang bersama-sama anggota Parlimen Ipoh Barat M. Kula Segaran tiba di pejabat itu.

Kit Siang memberitahu pemberita yang pintunya sentiasa terbuka bagi mereka. Ketika ditanya kenapa beliau datang selepas kumpulan itu bersurai, katanya beliau sibuk kerana menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Di IPOH, 30 individu mendakwa anggota Hindraf dengan membawa sepanduk dan poster berjalan kaki kira-kira 100 meter ke Wisma DAP sebelum bersurai atas arahan polis.

Seorang daripada mereka, P. Ramesh, berkata demonstrasi itu diadakan bagi menghantar mesej kepada Ketua Menteri Pulau Pinang agar tidak berdolak-dalik dalam isu itu.

Katanya beliau berharap Lim akan menyelesaikan isu itu secepat mungkin dan menurutnya mereka percaya yang beliau mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. BERNAMA

Artikel Lain