suria

Bekas pengurus dana dipenjara setahun dan didenda RM3 juta atas kesalahan sekuriti

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah dan pengurus dana dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM3 juta atau penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah didapati bersalah atas tuduhan penipuan sekuriti.

Wahid Ali Kassim Ali, 49, bekas pengarah dan pengurus dana Aiwanna Manage Asset Sdn Bhd didakwa pada 19 Okt, 2005 dengan tiga tuduhan berasingan mengikut Seksyen 87A(c) Akta Peindustrian Sekuriti 1983.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Sekuriti (SC), beliau didakwa tidak memberikan fakta penting kepada pelanggannya, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC), di dalam penyata akaun.

Hakim Mahkamah Sesyen Rosenani Abdul Rahman dalam keputusannya semalam, mendapati Wahid Ali bersalah terhadap ketigatiga pertuduhan itu.

Menurut SC, EPIC telah menerima tiga penyata bulanan dalam tempoh 31 Dis, 2001 dan 11 Mac, 2002 daripada Aiwanna, yang ditandatangani oleh Wahid Ali.

Penyata berkenaan menyatakan pelaburan EPIC diletakkan di dalam dana bon sedangkan RM5 juta wang berkenaan telah dilaburkan dalam instrumen tukaran asing, kata SC.

Menurut SC, bercanggah dengan kenyataan yang dibuat, wang RM5 juta milik EPIC itu telah hilang dan tidak lagi diuruskan oleh Aiwanna. BERNAMA

Artikel Lain