suria

Tuan Aziz pilihan terbaik bagi pengundi Manek Urai, kata Najib

PUTRAJAYA: Pemilihan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krai Tuan Aziz Tuan Mat sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan adalah merupakan pilihan terbaik untuk para pengundi di kawasan itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata ini berdasarkan kemampuannya dalam melaksanakan tugas sebagai pegawai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan daya kepimpinannya selama ini yang mengatasi calon Pas berdasarkan rekod perkhidmatan dan kemampuannya.

"Calon kita ini terbukti kemampuannya sebagai pegawai Kesedar dan dia ni banyak berurusan dengan orang ramai dan orang tempatan.

"Orang tempatan kenali dia dan kalau kita lihat dari segi kemampuan dan daya kepimpinannya, saya lihat apa yang telah dia lakukan selama ini mengatasi calon Pas dari segi track record dan kemampuannya.

"Maknanya kita telah menetapkan calon yang terbaik untuk para pengundi di Manek Urai," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Semalam, Tuan Aziz, 39, yang merupakan Pengurus Pemantauan dan Penyelarasan Program Kesedar diumumkan sebagai calon BN pada Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai, 14 Julai ini.

Sehubungan itu, Najib berharap para pengundi di kawasan berkenaan akan memilih Tuan Aziz kerana percaya beliau berupaya menjadi seorang wakil rakyat yang dapat memberikan khidmat dengan baik dan berkesan.

"Kita berharap jika mereka (pengundi) ingin kepimpinan dia (Tuan Aziz) dapat diterjemahkan dalam bentuk seorang wakil rakyat yang boleh berkhidmat dengan baik dan berkesan, maka pilihlah calon kita sebagai wakil rakyat di Manek Urai," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain