suria

Tuan Aziz dapat respons baik daripada golongan muda - Mustapa

KOTA BAHARU: Penduduk Manik Urai terutamanya golongan muda memberikan respons baik termasuk menyatakan sokongan terhadap calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manik Urai, Tuan Aziz Tuan Mat.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan dan Pengarah Pilihan Raya Kecil BN di Manik Urai, Datuk Mustapa Mohamed berkata respons yang sangat baik juga diterima daripada pengundi yang dikategorikan sebagai "pengundi di atas pagar".

"Tuan Aziz dianggap sebagai simbol kepada suara golongan muda di Manik Urai untuk menyuarakan pandangan dan membawa perubahan...penyokong PAS juga (ada) menyatakan pendirian mereka untuk menyokong calon BN," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahad lepas, Tuan Aziz, 39, yang merupakan Pengurus Pemantauan dan Penyelarasan Program Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) diumumkan sebagai calon BN pada pilihan raya kecil DUN Manik Urai, 14 Julai ini. Penamaan calon pada 6 Julai.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Ismail Yaakob, 60, dari PAS pada 22 Mei lalu kerana sakit jantung. Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata daya kepimpinan Tuan Aziz telah terbukti berdasarkan kemampuannya melaksanakan tugas sebagai pegawai Kesedar dengan baik.

Beliau berkata tugas tersebut telah menjadikan Tuan Aziz lebih rapat dengan masyarakat setempat sehinggakan beliau begitu dikenali dan menepati ciri pemimpin yang mampu berkhidmat kepada rakyat sepertimana kehendak rakyat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain