suria

Perancis nyatakan kesediaan bantu Malaysia bangun tenaga nuklear

PARIS: Perancis bersedia membantu Malaysia membangunkan loji tenaga nuklear sekiranya Malaysia berhasrat menggunakan kaedah itu bagi menjana tenaga elektrik, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata perkata itu disuarakan oleh Ketua Setiausaha Istana Elysee, Cluade Gueant, yang juga merupakan penasihat kanan kepada presiden Perancis dalam satu pertemuan di sini pada Isnin.

"Dalam pertemuan itu Gueant telah menyuarakan kesediaan Perancis mempertimbangkan kerjasama dengan Malaysia untuk bangunkan loji kuasa nuklear sekiranya Malaysia berhasrat menggunakan kuasa itu sebagai sumber tenaga elektrik," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja tiga harinya ke Perancis sejak Isnin.

Beliau berkata Gueant juga mempelawa tenaga pakar Malaysia dalam bidang nuklear melawat Perancis bagi membincangkan kaedah penggunaan tenaga nuklear di negara itu bagi menjana kuasa elektrik.

"Perancis kini telah agak maju dalam pengunaan tenaga nuklear bagi penjanaan tenaga elektrik dan tidak hairanlah sekiranya 80 peratus bekalan elektrik di negara itu dijana menggunakan sumber tersebut," katanya.

Muhyiddin berkata dalam pertemuan itu juga kedua-dua pihak telah bersetuju supaya ditingkatkan lawatan pemimpin peringkat tertinggi bagi mengeratkan lagi hubungan dua hala serta politik keduadua negara.

Katanya Gueant juga membayangkan kemungkinan Perancis menghantar guru bahasa Perancis ke Malaysia secara sukerela bagi membantu memantapkan lagi pengajaran bahasa itu di kalangan para pelajar Malaysia.

"Sehingga kini terdapat beberapa sekolah kerajaan yang mempunyai guru yang mengajar bahasa Perancis sebagai bahasa ketiga selepas bahasa Melayu dan Inggeris," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata dalam pertemuannya dengan Menteri Pelajaran Perancis Luc Chatel, perbincangan bertumpu pada kemungkinan keduadua negara memperluaskan kerjasama dalam bidang vokasional, teknikal, latihan perguruan dan pelbagai bidang lain yang dianggap sesuai.

Mengulas kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kerajaan membatalkan hasrat mewajibkan pelajar lulus bahasa Inggeris di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhyiddin berkata perkara itu masih di peringkat pengumpulan pendapat daripada orang ramai.

"Apa yang disuarakan oleh Anwar ialah pendapat beliau sematamata namun yang pasti cadangan itu mendapat maklum balas yang positif daripada orang ramai, sama ada yang disuarakan menerusi media maupun menerusi surat serta emel yang dikemukakan kepada kementerian," katanya.

Muhyiddin memberi jaminan bahawa sekiranya cadangan itu hendak dilaksanakan, kerajaan akan terlebih dahulu memastikan semua sekolah luar bandar mempunyai kemudahan serta guru yang mencukupi untuk mengajar bahasa Inggeris.

"Saya tidak akan terburu buru untuk membuat keputusan...saya nak teliti secara mendalam dan kalau nak dilaksanakan, semua prasarana terutamanya tenaga pengajar terutamanya di luar bandar adalah mencukupi," tegas beliau. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain