suria

Pemandu jentolak ditemui mati dibunuh

IPOH: Polis menemui mayat seorang lelaki yang dipercayai dibunuh di dalam sebuah parit kebun kepala sawit di Jalan Kampung Banjar, Kampung Selabak Dalam, Teluk Intan, kira-kira 120km dari sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Goh Kok Liang berkata mayat S.Sivan, seorang pemandu jentolak yang tinggal di Taman Desa Aman, Teluk Intan, ditemui oleh anggota polis peronda yang melalui jalan berkenaan, yang melihat beberapa kesan tompokan darah di tepi jalan pada pukul 8.20 pagi.

Beliau berkata polis kemudiannya menemui mayat Sivan dengan kesan tetakan di kepala, badan, leher, serta muka, dan perutnya terburai, sebelum menemui sebuah kereta Proton WiraAeroback dipercayai milik Sivan kirakira 100 meter dari parit itu.

Katanya berdasarkan siasatan awal, Sivan dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan yang melibatkan lebih daripada dua orang mengunakan senjata, namun tiada sebarang senjata ditemui di tempat kejadian.

"Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mayat Sivan sudah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat dan Goh meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak dengan menelefon 05-6212222 bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain