suria

Pelajar luar bandar tidak akan dipinggirkan dalam kajian - Muhyiddin

PARIS: Kerajaan akan memastikan pelajar di kawasan luar bandar tidak akan dipinggirkan dalam cadangan kajian mengenai sistem pendidikan oleh pasukan yang akan ditubuhkan dengan kerjasama Unesco, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan akan memastikan keperluan pelajar di luar bandar akan terlebih dahulu diteliti sebelum sebarang perubahan dilakukan terhadap sistem pendidikan.

"Ini adalah sebagai usaha untuk merapatkan jurang antara pelajar dari kawasan bandar dan luar bandar," katanya pada majlis makan malam yang dianjurkannya bagi kira-kira 1,000 warga Malaysia, termasuk kira-kira 450 pelajar yang tinggal di Perancis pada Isnin malam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran sedang dalam rangka lawatan tiga hari ke Perancis. Turut hadir pada majlis itu ialah isterinya Puan Sri Norainee Abd Rahman dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata dengan menjalankan kajian itu bukan bermakna sistem pendidikan sedia ada mempunyai kelemahan tetapi negara perlu mencari kaedah untuk memastikan yang ia sebaik sekarang, jikapun tidak lebih baik, daripada negaranegara maju.

Muhyiddin berkata dalam pertemuan beliau dengan Ketua Pengarah Unesco Koichiro Matsuura di pejabat ketua pengarah itu sebelum itu pada Isnin, badan dunia itu bersetuju untuk membantu Malaysia dalam kajian itu.

Kementerian akan menggariskan terma rujukan bagi kajian itu sebaik sahaja keanggotaan pasukan itu dimuktamadkan.

"Kajian mengenai dasar pendidikan dan sistem pendidikan yang diamalkan di Malaysia adalah perlu untuk menggariskan hala tuju pendidikan di negara, terutamanya daripada aspek pembangunan sepertimana di negaranegara maju.

"Walaupun dasar dan sistem pendidikan negara telah meletakkan Malaysia pada kedudukan baik, kami juga perlu mengambil kira pandangan pihak lain untuk memperbaiki sistem sedia ada," katanya dan menurutnya Unesco adalah organisasi antarabangsa paling sesuai bagi tujuan itu.

Muhyiddin juga menjelaskan mengenai pelbagai dasar yang dilaksanakan oleh kepimpinan kerajaan yang baru di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, khususnya mengenai konsep 1Malaysia.

Beliau berkata konsep 1Malaysia amat penting dalam melindungi keamanan dan kestabilan dalam negara melalui keharmonian antara kaum di mana setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira status, bangsa dan ekonomi, mempunyai peluang yang adil untuk cemerlang dalam pendidikan dan keperluan lain.

Beliau berkata melalui liberalisasi ekonomi, semua bangsa akan berkongsi bahagian yang lebih besar dalam peluang ekonomi dan ini akan membolehkan negara mengalami pertumbuhan pesat dan menangani masalah yang timbul daripada kegawatan ekonomi dunia.

Muhyiddin turut menasihatkan pelajar, kebanyakannya mengikuti jurusan perindustrian dan teknologi, untuk mendapatkan sebanyak mungkin pengetahuan dan menjadi kreatif supaya mereka dapat menyumbang kepada pembangunan negara apabila mereka kembali.

Katanya Malaysia masih ketinggalan dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) terutama dalam penciptaan produk dan jumlah produk yang dipatenkan oleh pelabur Malaysia masih terlalu kecil berbanding dengan negara maju.

"Jadi, ambil peluang semasa belajar di sini untuk mendapatkan pengetahuan daripada teknologi terkini orang Perancis dan membantu membangunkan teknologi Malaysia apabila anda kembali ke tanah air," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain