suria

Masyarakat Cina sambut baik cadangan pemberian biasiswa berasaskan merit

KLANG: Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memperkenalkan biasiswa khas berasaskan merit tanpa mengira kaum, secara umumnya disambut baik parti itu dan masyarakat Cina.

Ong yang juga Menteri Pengangkutan berkata kenyataan Najib itu memberikan semangat kepada pelajar cemerlang yang setiap tahun menjadi sebahagian daripada modal insan untuk membangunkan negara.

Cadangan pemberian biasiswa oleh Perdana Menteri itu telah diperjelaskan dalam Kabinet, katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung MCA bahagian Klang di sini, semalam.

Sabtu lepas, Najib berkata kerajaan akan mewujudkan pemberian biasiswa khas dikenali sebagai Biasiswa Nasional yang berasaskan kepada merit sepenuhnya oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai tahun depan.

Biasiswa itu diwujudkan selaras dengan keputusan Kementerian Pelajaran untuk mengkaji semula pemberian biasiswa kerajaan. Najib berkata Biasiswa Nasional tidak diperkenalkan tahun ini berikutan keputusan Kementerian Pelajaran untuk menghadkan jumlah subjek dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain