suria

Lucut jawatan Johari: Tindakan terlalu keras, kata ahli MPSP

BUTTERWORTH: Beberapa Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menganggap pelucutan jawatan wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johari Kassim daripada menganggotai majlis itu sebagai tindakan yang terlalu keras.

Seorang anggota MPSP dari PKR, Mohd Kamil Abu Bakar berkata sebagai amaran, kerajaan negeri boleh menggantung perkhidmatan Johari berikutan tindakannya mengetuai usaha memulaukan majlis pelantikan Yang Dipertua MPSP, Mokhtar Mohd Jait pada 4 Jun lepas.

"Tindakan ini (pelucutan jawatan) terlalu keras, sepatutnya digantung dahulu (tugas Johari)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat MPSP hari ini.

Mohd Kamil adalah antara sekumpulan Ahli Majlis dari PKR yang memulaukan upacara pelantikan Yang Dipertua baru MPSP pada 4 Jun lepas sebagai membantah tindakan kerajaan negeri yang dikatakan tidak berunding dengan PKR terlebih dahulu berhubung pelantikan itu.

Kerajaan negeri mengumumkan pelucutan jawatan Johari, sebagai Ahli Majlis berkuatkuasa semalam.

Mohd Kamil berkata beliau berharap kerajaan negeri dapat memberi peluang kedua kepada Johari.

"Kami sudah jumpa pucuk pimpinan parti (PKR) dan berharap mereka dapat berbincang dengan kerajaan negeri berhubung perkara ini," katanya.

Sementara itu, seorang ahli majlis yang mewakili PAS, Mohd Fadzil Kemi turut berpendapat Johari perlu diberi peluang kedua memandangkan prestasi baiknya sebagai Ketua Whip majlis itu.

"Patut Johari diberi amaran dulu. Beliau menjalankan tugas dengan baik selama ini. Tindakan Johari memboikot majlis angkat sumpah itu disebabkan berlaku salah faham bukan sebab kedegilannya," katanya.

Sementara itu Mokhtar berkata pemilihan calon bagi menggantikan Johari akan ditentukan oleh kerajaan negeri tidak lama lagi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain