suria

Lima rumah setinggan hangus terbakar

KUALA LUMPUR: Empat keluarga hilang tempat tinggal apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Bukit b, Kampung Kerinchi di sini semalam.

Kejadian pada pukul 1 petang itu memusnahkan lima rumah setinggan termasuk sebuah rumah kosong.

Seorang daripada penghuni rumah terbabit, Kamaliah Marsom, 53, berkata beliau mengesyaki ada individu yang menceroboh rumah kosong berhampiran rumahnya dan berkemungkinan membuang puntung rokok di dalam rumah itu yang menyebabkan kebakaran.

"Sebelum ini, ada orang pecah masuk rumah kosong itu dan membawa lari barangan di dalam rumah itu. Jadi mungkin hari ini ada orang yang masuk ke dalam rumah itu lagi dan membuang puntung rokok di situ," katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Ketika kejadian beliau bersama cucu dan menantu perempuannya berada di rumah barunya di Kampung Chempaka sebelum dimaklumkan oleh jirannya mengenai kejadian itu.

Beliau berkata rumah itu didiaminya bersama seorang anak lelakinya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

"Semalam saya berasa tidak sedap hati lalu tidak pulang ke rumah setinggan itu. Anak saya pula selalunya bekerja pada waktu malam dan akan tidur pada siang hari namun hari ini tiba-tiba dia diminta untuk bekerja pagi...syukur kami selamat," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Norizan Abu Bakar berkata empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dan Pantai bersama 30 anggota termasuk pegawai mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal kebakaran.

"Kami menerima panggilan pada pukul 1.20 petang dan tiba lima minit kemudian dan ketika itu kebakaran telah merebak lebih dari 70 peratus. Api dipercayai bermula dari rumah kosong itu," katanya.

Beliau berkata punca sebenar kerugian dan anggaran kerugian masih disiasat.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang melawat tempat kejadian berkata kesemua empat keluarga yang terlibat akan dipindahkan ke rumah pangsa di Taman Sri Chempaka. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain