suria

Kerjasama dengan Unesco kaji sistem pendidikan negara - Muhyiddin

PARIS: Kerajaan akan bekerjasama dengan Unesco bagi mengkaji dasar serta sistem pendidikan negara yang diamalkan selama ini bagi menentukan arah aliran serta kesesuaiannya terutama dalam aspek perkembangan sistem pendidikan yang diamalkan di negara maju, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Beliau berkata untuk tujuan itu, satu pasukan yang terdiri daripada pakar tempatan serta dari Unesco akan ditubuhkan dalam waktu terdekat ini bagi membuat penilaian terhadap sistem serta dasar pendidikan yang diamalkan oleh Malaysia sekarang.

"Sungguhpun sistem serta dasar yang kita laksanakan sekarang telah meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang baik, namun wajar kita mengambilkira pandangan dan juga penilaian oleh pihak luar dalam memperbaiki sistem yang ada.

"Oleh itu, saya putuskan bahawa Unesco merupakan sebuah badan antarabangsa yang sesuai untuk tujuan itu," katanya kepada pemberita Malaysia setelah mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Unesco Koichiro Matsuura di pejabat badan dunia itu di sini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata dalam pertemuan itu Matsuura bersetuju dengan cadangan supaya ditubuhkan satu pasukan yang terdiri daripada pakar pendidikan dari Malaysia dan Unesco bagi membuat kajian terhadap tahap kemajuan yang telah dicapai oleh Malaysia dalam pendidikan dari dahulu hingga sekarang.

Katanya pihak kementerian akan menyediakan terma penyelidikan untuk diserahkan kepada pasukan itu sebaik sahaja keanggotaannya diputuskan nanti.

Mengenai tempoh yang akan diberikan kepada pasukan itu bagi menyiapkan laporannya, Muhyiddin berkata jangka masa itu akan ditetapkan dalam satu perbincangan yang akan diadakan kemudian.

Ditanya mengapa penyelidikan itu harus melibatkan pihak luar , Muhyiddin berkata dalam mengkaji kekuatan sistem pendidikan yang sedang dilaksanakan, pandangan daripada pihak luar adalah penting.

"Ini bagi mengenalpasti sama ada sistem yang ada sekarang sealiran atau jauh ketinggalan daripada sistem pendidikan yang diamalkan di negara maju," katanya.

Muhyiddin berkata penglibatan pakar asing dalam pasukan itu juga akan membolehkan laporan yang disediakan nanti seimbang, sebelum dikemukakan kepada kerajaan.

Beliau berkata kajian terhadap sistem dan dasar pendidikan tidak bermakna dasar serta sistem yang sedia ada sekarang sudah tidak sesuai dan perlu ditukar.

Muhyiddin berkata terdapat keperluan untuk dilakukan penambaikan bagi mencapai matlamat supaya sistem pendidikan negara ini bertaraf dunia.

Katanya dalam pertemuan dengan Matsuura, keduadua belah pihak juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dua hala dalam menjayakan program yang dirancang serta menyeru pihak swasta supaya melibatkan diri dengan lebih banyak dalam program anjuran Unesco. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain