suria

Kadar pelaburan Ekuinas RM500 juta ditubuhkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan lima langkah untuk meliberalisasikan iklim pelaburan di negara, antara lain menubuhkan satu institusi pelaburan baru yang dikenali sebagai Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas).

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, Ekuinas akan ditubuhkan dengan modal permulaan sebanyak RM500 juta yang bakal berkembang ke paras RM10 bilion dan akan bertambah mengikut keperluan.

Pelaburan Ekuinas memfokuskan kepada sektor-sektor pertumbuhan tinggi dan ia merupakan sebahagian daripada Model Ekonomi Baru yang sedang digubal, kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

"Ekuinas adalah modal penerokaan swasta yang memberi tumpuan untuk melabur dan turut serta dalam syarikat berpotensi.

"Kita akan lebih fokus kepada syarikat dan usahawan Bumiputera yang ada potensi dan berkemampuan untuk berjaya dan mampu berkembang dalam negara dan secara global," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama majlis Invest Malaysia 2009 di sini, hari ini.

Najib berkata, perubahan dasar yang diumumkan beliau itu bererti matlamat dan pengagihan serta sasaran 30 peratus bagi ekuiti bumiputera masih kekal dan lebih bersifat makro.

Katanya, kerajaan masih komited untuk mencapai kewujudan negara yang mencerminkan keadilan sosial.

Dalam pada itu, Najib juga berkata, garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) juga dimansuhkan berkuat kuasa serta merta.

Najib berkata, pemansuhan garis panduan FIC adalah disebabkan perubahan drastik yang berlaku pada persekitaran ekonomi negara dan global dan negara terpaksa berdepan denagn persaingan yang lebih hebat.

"Selain itu, kita melihat FIC sebagai alat yang tidak dapat menambah ekuiti bumiputera dalam masa hampir 19 tahun dan kini masih tidak berubah.

"Oleh itu, pihak pelabur tidak berpuas hati dan penambahan ekuiti bumiputera tidak menjadi kenyataan, maka kita ganti dengan yang baru (Ekuinas)," katanya.

Najib turut mengumumkan beberapa pendekatan baru dalam bidang ekonomi:

1. Liberalisasi pengurusan dana

- Pemilikan dalam segmen borong bagi industri pengurusan dana diliberalisasi sepenuhnya bagi membenarkan 100 peratus pemilikan bagi syarikat pengurusan dana yang menerajui dan berkelayakan untuk beroperasi di negara ini.

- Bagi segmen perdagangan runcit, had-had pegangan saham asing bagi syarikat pengurusan unit amanah ditingkatkan daripada 49 peratus kepada 70 peratus.

2. Liberalisasi 'stock-broking'

- Had-had pegangan pemilikan asing dalam syarikat 'stock-broking' sedia ada ditingkatkan daripada 49 peratus kepada 70 peratus.

3. Permohonan VISA

- Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti akan menyemak semula permohonan visa masing-masing bagi industri perkhidmatan kewangan dan pasaran modal.

Artikel Sebelum

Artikel Lain