suria

Juruwang dilepas daripada tuduhan edar dadah

KUALA LUMPUR: Seorang juruwang pawagam terlepas daripada tuduhan mengedar dadah yang boleh membawa hukuman gantung setelah Mahkamah Tinggi di sini menerima hujah pembela yang berjaya menimbulkan keraguan munasabah bahawa peti lokar di mana dadah dijumpai mempunyai kunci pendua yang disimpan pihak pengurusan.

Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah memerintahkan agar melepaskan dan membebaskan L. Mogana, 24, yang ditahan reman sejak 19 Julai 2005.

Mogana mengalirkan airmata sebaik sahaja mendengar keputusan tersebut dan memeluk ibunya serta anggota keluarga yang berada di galeri awam sebelum bergegas meninggalkan mahkamah.

Mogana didakwa mengedar dadah heroin seberat 24.26 gram dan 91.73 gram monoacetylmorphines.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di IMAX Pawagam Berjaya Time Square, Tingkat 10, Jalan Imbi pada jam lebih kurang 5.30 petang, 19 Julai 2005.

Azman dalam penghakimannya berkata walaupun mahkamah mendapati tiada sebab orang lain untuk menganiayai tertuduh dengan meletakkan sejumlah dadah di dalam lokarnya, tetapi ia boleh dilakukan memandangkan pihak pengurusan di tempat tertuduh bekerja mempunyai kunci pendua.

"Lebihlebih lagi kelakuan tertuduh tidak dikatakan cemas atau menangis apabila pemeriksaan terhadap lokar dilakukan oleh pihak polis dan tertuduh hanya berdiam diri sahaja," kata Azman.

Beliau berkata pihak pendakwaan gagal memberikan keterangan melalui saksi pendakwaan apakah maklumat yang diperolehi sehingga begitu tepat mengetahui nama tertuduh dan tempat dadah itu disimpan. Mogana diwakili peguam Datuk P.M. Nagarajan, manakala Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim mewakili pihak pendakwaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain