suria

Enam ditahan culik wanita tuntut RM1 juta

JOHOR BAHARU: Polis menahan seorang wanita warga asing dan lima lelaki tempatan Jumaat lepas berhubung penculikan seorang wanita berusia 55 tahun dan menuntut wang tebusan RM1 juta.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata wanita itu, seorang pekerja kilang, dan kesemua lelaki itu diberkas pada 4.30 petang setelah mereka membebaskan mangsa apabila keluarganya membayar wang tebusan RM650,000.

"Kumpulan itu menculik mangsa ketika wanita itu sedang beriadah di kawasan Serom 8, Sungai Mati, Ledang, pada 6.30 petang 22 Jun lepas. Mereka kemudian menuntut wang tebusan RM1 juta sebelum mangsa dibebaskan apabila keluarganya membayar RM650,000 pada Jumaat lepas," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Mohd Mokhtar berkata polis menemui semula wang tunai RM556,976 dipercayai sebahagian wang tebusan itu.

Katanya siasatan mendapati seorang daripada penculik itu mempunyai rekod kesalahan lampau dengan melakukan pecah rumah dan dipenjara selama setahun. Beliau berkata lima lelaki berusia 19 hingga 35 tahun dan wanita berusia 25 tahun itu direman sehingga Jumaat ini.

Mohd Mokhtar berkata polis sedang mencari seorang lagi lelaki dikenali Chew Ern Tik untuk membantu siasatan kes itu.

Beliau meminta orang ramai yang mengenali lelaki itu supaya menghubungi polis.

Dalam kes lain, polis menahan lima lelaki berumur 20 hingga 51 tahun pada Khamis lepas, dipercayai anggota kumpulan ah long yang bergiat cergas di sekitar Muar.

Katanya mereka menggunakan kekerasan dalam mengugut peminjam melangsaikan hutang.

Menurut Mohd Mokhtar, polis yang memeriksa rumah seorang anggota kumpulan itu merampas 15 fail mengandungi rekod peminjam, tiga kotak kad iklan peminjam wang, tiga ikatan dokumen mengandungi urusan pinjaman wang, sebuah buku catatan rekod peminjam wang dan seikat pelekat pinjaman wang.

Katanya polis sedang mencari seorang lagi lelaki dikenali, Lee Wee Seen @ Faralee, berhubung kes mencedera dan memeras ugut seorang peminjam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain