suria

Dua penyokong Hindraf dikenakan waran tangkap

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap dua penyokong Hindu Rights Action Force (Hindraf) ekoran kegagalan mereka hadir untuk menghadapi perbicaraan terhadap pertuduhan menyertai perhimpunan haram pada November 2007.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi memohon kepada mahkamah agar waran itu dikeluarkan terhadap N. Rames, 39, dan M. Hari Chandran, 29, yang gagal menghadirkan diri pada prosiding mahkamah hari ini.

Sementara itu, tiga lagi tertuduh iaitu M. Selvanathan, 47, Sangar Nair, 27, dan L.Subramaniam, 29, turut gagal hadir kerana cuti sakit.

Bagaimanapun hanya Selvanathan yang mengemukakan sijil cuti sakit melalui peguam belanya N.Surendran.

Mahkamah mengarahkan Sangar dan Subramaniam menyerahkan sijil cuti sakit masingmasing pada 17 Julai ini untuk sebutan semula kes. Dalam prosiding yang sama, Azlina turut memaklumkan empat waran tangkap yang dikeluarkan pada 11 Dis 2008 terhadap K. Thirushul Vanan, 23, B. Kalai Vanar, 45, L. Subramaniam, 29, dan S. Letchmanan, 24, masih belum disempurnakan sehingga kini.

Kesemua mereka didakwa menyertai perhimpunan haram di sekitar kawasan Bangunan MIDF, Jalan Tun Razak dan persimpangan Jalan Ampang di sini antara 8 pagi hingga 9 pagi, pada 25 Nov 2007, mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda.

Bagi pertuduhan pilihan pula mereka didakwa berada di dalam perhimpunan haram mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara sehingga setahun.

Mereka juga menghadapi pertuduhan menggunakan kekerasan dan ingkar arahan polis supaya bersurai pada tarikh dan waktu yang sama mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan yang memepruntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau keduaduanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain