suria

Dua pelajar UM didakwa menceroboh Fakulti Pengajian Islam

KUALA LUMPUR: Dua pelajar tahun satu Universiti Malaya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap dua pertuduhan cuba melakukan khianat dan pertuduhan menceroboh Fakulti Akademi Pengajian Islam universiti itu pada 24 Jun lalu.

Mohamad Izzuddin Hilmi, 21, dan Muhammad Syahrul Denn Ahmad Rosli, 21, pelajar fakulti yang sama didakwa bersama-sama tiga yang lain yang masih bebas telah cuba melakukan perbuatan khianat itu di pintu utama dewan fakulti itu pada kira-kira 4 pagi, 24 Jun lalu.

Mereka juga dituduh melakukan kesalahan khianat dengan menyimbah petrol di atas karpet dan menconteng di dinding dewan utama fakulti itu pada masa dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 427 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau keduaduanya.

Mereka juga menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu menceroboh bangunan fakulti itu di tempat dan pada masa yang sama mengikut Seksyen 447 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau keduaduanya.

Hakim Rosbiahanim Arifin menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin masingmasing dan menetapkan 13 Julai untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mazlan Jamaluddin manakala keduadua tertuduh diwakili peguam Mohamad Arfizi Mohd Ramli.

Sebelum itu, Mohamad Izzudin dan Muhammad Syahrul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret terhadap pertuduhan menunggang motosikal dengan mempamerkan nombor pendaftaran yang sukar dilihat.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di tempat letak kereta di fakulti yang sama pada tarikh dan masa yang sama.

Majisret Hafizza Sauni membenarkan masingmasing diikat jamin RM500 dan menetapkan 13 Julai bagi sebutan semula kes.

Mohammad Izzudin dan Muhammad Syahrul terpaksa bermalam di Penjara Sungai Buloh malam ini memandangkan kaunter pembayaran jaminan telah ditutup berikutan prosiding mahkamah berakhir 5.30 petang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain