suria

Dakwaan kaum India tidak diberi jawatan tinggi dalam GLC tidak benar - Najib

KUALA LUMPUR: Dakwaan mengatakan bahawa kaum India tidak diberi peluang yang adil untuk menjawat jawatan tertinggi di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah tidak benar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata daripada 222,382 orang yang berkhidmat dalam 20 buah syarikat GLC terbesar dan tersenarai, seramai 17,507 orang atau 7.9 peratus adalah berketurunan India.

"Seramai 175 orang atau 5.1 peratus memegang jawatan Pengurusan Atasan (peringkat pengurus dan ke atas di syarikat GLC tersebut," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Dr P. Ramasamy (DAPBatu Kawan) yang bertanya mengapa masyarakat India tidak diberi peluang yang adil dalam menjawat jawatan tertinggi seperti pengurus dalam GLC.

Najib berkata selain itu, syarikat GLC tidak meletakkan sebarang kuota berdasarkan kaum untuk pengambilan kerja atau kenaikan pangkat, kerana pelantikan seseorang petugas ke jawatan pengurusan atasan di syarikat GLC sebenarnya berdasarkan kepada merit, pengalaman, kepakaran khusus serta kesesuaian individu untuk memegang jawatan dan bukan berdasarkan kepada latar belakang etnik masing-masing.

"Ini bagi memastikan GLC membariskan pengurusan atasan yang benar-benar layak dan berkebolehan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain