suria

Calon BN yakin punya peluang lakar sejarah di Manek Urai

KUALA KRAI: Calon Barisan Nasional (BN) Tuan Aziz Tuan Mat yakin beliau mempunyai peluang cerah untuk mencipta kemenangan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai berdasarkan hubungan baiknya dengan masyarakat setempat.

Katanya sebagai anak tempatan yang memahami budaya dan masalah masyarakat setempat selain pernah bertugas sebagai Pengurus Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Kuala Krai, beliau menaruh keyakinan penduduk akan menyokong BN pada 14 Julai depan.

"Secara tradisi, Manik Urai memang dianggap kawasan Pas tetapi saya yakin mempunyai peluang yang cerah untuk menang di sini kerana mempunyai hubungan rapat dengan rakyat pelbagai lapisan termasuk di peringkat akar umbi.

"Apa yang penting, saya akan berusaha bersungguhsungguh untuk mendekati rakyat dan dengan sokongan padu dan kerja keras daripada jentera parti, saya percaya kita akan memberi saingan paling sengit kepada Pas," katanya ketika ditemui di Pusat Operasi BN Manik Urai, di sini, semalam.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Tuan Aziz, 39, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai calon mewakili BN pada pilihan raya kecil itu.

PAS sebelum ini mengumumkan seorang pemborong ikan, Mohd Fauzi Abdullah, 50, sebagai calon parti itu bagi mempertahan kerusi DUN itu.

Tuan Aziz yang juga bekas Pengurus Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan Kesedar hari ini mula bertemu penduduk setempat dengan beramahmesra dengan mereka selain mendengar masalah yang dihadapi mereka.

Beliau berkata sepanjang tempoh berkempen mulai 6 Julai ini, beliau akan mengamalkan pendekatan turun padang dari rumah ke rumah serta berusaha sedayaupaya untuk bersemuka dengan seberapa ramai pengundi di Manik Urai.

"Bagi saya, rakyat Manik Urai memerlukan seorang pemimpin yang sensitif terhadap keperluan mereka serta seorang wakil rakyat yang mampu mengetengahkan masalah yang dihadapi mereka, insyaAllah saya akan memberi khidmat terbaik kepada semua lapisan masyarakat di sini," katanya.

Selain itu, katanya, beliau tidak akan berkempen secara menyerang peribadi manamana pemimpin parti lawan termasuk calon Pas, sebaliknya akan mengamalkan pendekatan mesra rakyat serta turun padang bagi menjelaskan apa yang akan dilakukannya kepada masyarakat setempat jika dipilih sebagai calon.

"Saya tidak akan menyerang peribadi atau individu dalam Pas... sebaliknya saya mahu memberitahu rakyat bahawa saya bertanding pada pilihan raya kecil ini kerana ingin berkhidmat kepada mereka," katanya.

Seorang penduduk di Kampung Sungai Sok, Yahya Seman, 45, gembira kerana BN memilih Tuan Aziz untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Katanya Tuan Aziz banyak berjasa kepada penduduk Manik Urai kerana banyak membantu meningkatkan taraf ekonomi terutama dalam sektor pertanian.

"Kalau pengundi Manik Urai tolak calon BN adalah sangat rugi kerana jasanya terhadap petani di sini memang tidak boleh dinafikan," katanya sambil diakui rakannya Abdullah Muda, 47.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat daripada PAS Ismail Yaakob pada 22 Mei lalu akibat sakit jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 6 Julai sebagai tarikh penamaan calon manakala 14 Julai sebagai hari pengundian. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain