suria

Bekas Pengarah Penguatkuasa MPAJ dihukum penjara dan denda kerana rasuah

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapt (B) Abdul Kudus Ahmad dijatuhi hukuman penjara 11 tahun 10 bulan dan didenda RM370,000 atau penjara 17 tahun oleh Mahkamah Sesyen Ampang hari ini setelah didapati bersalah terhadap 24 tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM59,000.

Hakim Noradidah Ahmad membuat keputusan itu di akhir kes pembelaan setelah mendapati Abdul Kudus gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.

Kes perbicaraan yang mengambil masa hampir enam tahun bermula 9 Ogos 2003 itu melibatkan 11 orang saksi pendakwaan dan 12 orang saksi pembelaan. Antara yang memberi keterangan ialah bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M. Kayveas.

Abdul Kudus, 46, didakwa meminta dan menerima rasuah itu daripada pemilik restoran Sri Steven's Corner antara Mei 2001 dan Mei 2004.

Dia dibicarakan mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan Seksyen 11(a) akta yang sama.

Sekiranya disabitkan kesalahan, Abdul Kudus boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda lima kali ganda daripada nilai suapan.

Daripada 24 pertuduhan itu, Abdul Kudus dihukum penjara selama lima bulan bagi dua pertuduhan dan enam bulan bagi 22 pertuduhan lagi. Dia turut didenda sebanyak RM10,000 bagi 15 pertuduhan, RM20,000 bagi lapan pertuduhan dan RM60,000 bagi satu lagi pertuduhan.

Sekiranya gagal membayar denda tersebut, Noradidah memerintahkan Abdul Kudus dipenjara selama enam bulan bagi 16 pertuduhan, 12 bulan (tujuh pertuduhan) dan 24 bulan bagi satu pertuduhan.

Kesemua hukuman diperintah berjalan secara berasingan.

Kegagalan membayar denda itu, boleh mengakibatkan Abdul Kudus, 46, meringkuk didalam penjara selama 17 tahun.

Bagaimanapun, Noradidah membenarkan hukuman itu ditangguhkan sementara Abdul Kudus mengemukakan rayuan tetapi wang jaminan dinaikkan dari RM80,000 (dibayar di awal pertuduhan) kepada RM150,000 dengan seorang penjamin.

Dalam penghakimannya, Noradidah berkata keterangan Abdul Kudus ketika dipanggil membela diri hanyalah penafian semata-mata dan tiada sebarang bukti untuk membabitkan Kayveas dalam kes itu.

"Kayveas telah dipanggil sebagai saksi tetapi ia tidak membantu. Beliau hanya memberi keterangan yang beliau menafikan bersubahat dengan pemilik restoran S. Steven.

"Tertuduh juga menyatakan wujud konspirasi Kayveas untuk mengenakannya tetapi tiada sebarang laporan polis dibuat, jadi ia diragui, " katanya.

Abdul Kudus yang berada di dalam kandang tertuduh kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung.

Sebelum hukuman dijatuhkan, M.Manoharan yang mewakili Abdul Kudus, merayu agar tertuduh dijatuhkan hukuman yang ringan memandangkan ia adalah kes pertama dan Abdul Kudus perlu menanggung 10 orang anak dan dua isteri.

Manoharan berkata Abdul Kudus kini tidak mempunyai pekerjaan dan sepanjang prosiding selama enam tahun, ibu tertuduh telah meninggal dunia ekoran menerima pelbagai bentuk ugutan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan membantah dengan memohon hukaman berat dilaksanakan.

Katanya tertuduh sepatutnya memikirkan apa yang bakal berlaku sebelum melakukan kesalahan dan ketika kejadian tertuduh merupakan seorang pengarah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain