suria

Penuntut UiTM perlu tahu menguruskan pengetahuan

SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang melawat Kolej Perindu di kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam hari ini menasihatkan penuntut supaya membina kebolehan menguruskan pengetahuan yang mereka peroleh.

"Di dalam pemikiran, anda seharusnya mengetahui bagaimana mengurus pengetahuan dan untuk melakukannya, anda mesti mempunyai disiplin dan keupayaan untuk mensintesis maklumat... apa yang boleh dipercayai dan apa yang perlu diketepikan," katanya kepada lebih 30 penuntut UiTM yang meluangkan masa bersama beliau minum sambil bertukar-tukar pandangan di kafetaria kolej itu.

Turut serta di dalam perbincangan yang berlanjutan selama 30 minit ialah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalannya Datuk Saifuddin Abdullah serta Naib Canselor UiTM Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah.

Najib berkata para penuntut perlu memiliki minda yang mampu mengurus pengetahuan yang diperoleh bagi mencapai kejayaan dalam keadaan semasa yang amat mencabar.

Ketiadaan minda yang mampu menguruskan pengetahuan mungkin boleh memecahbelahkan masyarakat kerana rakyat kini dihujani dengan limpahan maklumat dan pengetahuan hasil kemajuan teknologi perhubungan seperti internet, katanya.

Perdana Menteri berkata para penuntut memmpunyai peranan penting untuk mengukuh perpaduan dan seterusnya menjayakan konsep 1Malaysia.

Najib berkata mahasiswa UiTM, yang majoritinya beragama Islam, perlu membentuk diri menjadi Muslim yang baik kerana perwatakan itu secara tidak langsung akan menjadikan mereka warganegara yang baik dan memberi gambaran sebenar mengenai Islam kepada masyarakat bukan Islam.

Ini adalah satu bentuk dakwah yang boleh dilakukan pelajar selain daripada peranan kerajaan membangunkan syiar Islam seperti melatih dan menggaji guruguru agama, mendirikan masjid dan surau serta menubuhkan Lembaga Tabung Haji bagi menguruskan jemaah haji ke Tanah Suci Mekah dan Madinah, katanya.

Najib turut menasihatkan para mahasiswa supaya tidak menggadaikan masa depan mereka dan terpedaya dengan dakyah-dakyah pembangkang kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi menitikberatkan pendidikan dan UiTM merupakan aset terbesar kerajaan dalam bidang ini.

Pendidikan merupakan agenda utama BN sejak dahulu lagi kerana ia merupakan agen perubahan sosio-ekonomi masyarakat yang paling berkesan.

Najib berkata kerajaan BN tidak hanya membuat janjijanji tetapi apa yang mereka nikmati di UiTM adalah satu realiti yang membolehkan mereka berusaha mengubah kehidupan mereka ke tahap lebih baik.

Para penuntut yang menyertai perbincangan bersama Perdana Menteri jelas selesa dan tidak berasa kekok ataupun gugup malah berani dan gembira dapat memberikan pandangan serta menyatakan harapan mereka.

Mereka turut bertukar-tukar pandangan mengenai politik semasa negara dan mendengar sendiri jawapan Najib mengenai penggunaan blog dan kempen menerusi internet oleh pembangkang sehingga memberi kelebihan kepada parti itu memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum ke12.

Najib berkata penggunaan media baru itu adalah antara punca kekalahan BN di lima buah negeri tetapi pemikiran rakyat kini telah berubah dan lebih kritikal.

Seorang penuntut turut bertanya kepada Perdana Menteri bilakah UiTM bakal memiliki hospital universiti sendiri bagi tujuan amali kerana sekarang ini mereka menggunakan Hospital Sungai Buluh.

Menjawab soalan itu, Najib berkata kerajaan menyedari kebaikan UiTM untuk memiliki hospital universiti sendiri tetapi kerajaan belum mempunyai peruntukan. BERNAMA

Artikel Lain