suria

Kes bapa angkasawan negara tuntut hak jagaan cucu ditangguh ke 12 Ogos

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 12 Ogos ini untuk sebutan semula kes permohonan ibu bapa angkasawan pertama negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, bagi mendapatkan hak penjagaan dua orang cucu selepas kematian bapa mereka, dua tahun lepas.

Hakim Mohamad Khalid Shaee menetapkan tarikh itu bagi membolehkan pihak plaintif dan defendan mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan kes itu secara persetujuan bersama.

Zuraida Sheikh Ahmad dan Sheikh Mustapha Sheikh Abdul Shukor memfailkan permohonan pada 23 Disember tahun lepas bagi mendapatkan hak penjagaan dua cucu mereka, Sheikh Aiman Shukor AlMasrie, 4, dan Siti Balkish Aisha AlMasrie, 2, mengikut Seksyen 87 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Zuraida, 64, dan Sheikh Mustapha, 74, selaku plaintif menamakan menantu mereka, Haryati Mohd Redza, 31, dan ibu Haryati, Kamar Aziah Abdullah, 61, sebagai defendan.

Ibu bapa angkasawan pertama negara itu diwakili peguam syarie Zulqarnain Lukman manakala Haryati dan Kamar Aziah diwakili peguam syarie Suriati Abdul Ghani.

Kedua-dua pihak plaintif dan defendan bagaimanapun tidak hadir di mahkamah hari ini.

Sheikh Aiman dan Siti Balkish merupakan anak kepada adik Dr Sheikh Muszaphar, Sheikh Mustapha Al Masrie, 32, seorang jurutera awam, yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 27 Okt 2007, selepas koma seminggu akibat kecederaan di kepala kerana terhantuk pada tiang di sebuah restoran di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Allahyarham bernikah dengan Haryati, seorang eksekutif akaun di MIMOS Bhd, pada 6 September 2003.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Zulqarnain berkata anak guamnya memfailkan permohonan itu dengan alasan mereka telah memelihara dan mengasuh kedua-dua cucu mereka sejak kanakkanak berkenaan dilahirkan.

Zulqarnain bagaimanapun enggan memberitahu pemberita alasanalasan lain yang turut disertakan dalam permohonan itu.

Haryati dalam pernyataan pembelaannya antara lain menyebut bahawa hak penjagaan kedua-dua anaknya harus diberikan kepadanya memandangkan beliau adalah ibu kandung mereka.

Buat masa ini, berdasarkan persetujuan bersama, pasangan itu boleh melawat cucu-cucu mereka setiap dua minggu sekali dan memberi nafkah sebanyak RM400 sebulan.

"Selama ini pun anak guam saya yang menanggung cucu mereka dan seorang daripada cucu mereka (Sheikh Aiman) kini sedang berada di Eropah kerana mengikuti bapa saudara mereka, Dr Sheikh Muszaphar (angkasawan negara)," kata Zulqarnain.

Suriati pula memaklumkan bahawa anak guamnya mempunyai satu lagi kes di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya iaitu permohonan tuntutan nafkah anak yang difailkan terhadap Zuraida dan Sheikh Mustapha dan kes itu ditetapkan pada 7 Julai untuk sebutan semula. BERNAMA

Artikel Lain