suria

Kemelut politik antara penghalang kemasukan FDI, kata Mukhriz

KANGAR: Kerajaan berazam untuk memulihkan keyakinan pelaburan langsung asing (FDI) yang masih di tahap yang rendah namun kemelut politik dalaman yang berterusan menjadi antara penghalangnya, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir.

Menurutnya, kemelut politik yang berpanjangan dan sikap pemimpin pembangkang yang sering menimbulkan isu yang menakutkan para pelabur asing menjadi antara faktor kesukaran memulihkan kemerosotan FDI.

Bercakap kepada para pemberita selepas menghadiri majlis penutup konvensyen program usahawan muda (PUM) peringkat kebangsaan ke-13 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Ulu Pauh dekat sini malam tadi, beliau berkata kestabilan politik akan membantu mempercepatkan proses memantapkan FDI.

"Kita harap kemelut politik akan berakhir secepat mungkin supaya negara ini dapat kembali ke tahap daya saing yang lebih tinggi daripada sekarang," katanya.

Menurutnya, usaha lebih keras perlu dilakukan bagi menyelesaikan segera masalah dalaman negara ini bagi memastikan keyakinan pelabur asing kepada negara ini kembali pulih.

Mukriz juga menyelar parti pembangkang yang hanya bijak membangkitkan isu tetapi mereka tidak mencadangkan langkah penyelesaian isu bagi memulihkan ekonomi negara.

Meski pun iklim pelaburan negara ini secara zahirnya dilihat dalam keadaan tidak menentu, namun menurutnya, kebanyakan pelabur Eropah yang ditemuinya menganggap kemelut politik di Malaysia bukan sesuatu yang mencemaskan.

"Mereka sendiri datang dari negara yang pergolakan politik berlaku setiap hari. Apa yang berlaku di Malaysia tak seteruk berlaku di negara mereka," katanya.

Beliau berkata, walau pun masih wujud keyakinan di kalangan para pelabur asing, namun apa yang lebih penting ialah usaha berterusan untuk membentuk iklim pelaburan yang lebih memikat mereka.

Ini kerana para pelabur kini mula menunjukkan minat kepada negara lain, termasuk Vietnam dan India sedangkan sebelum ini Malaysia adalah antara negara pilihan utama untuk melabur.

Beliau berharap semua pihak memberi fokus kepada isuisu utama yang boleh membantu kekuatan ekonomi negara termasuk melalui proses meredakan kemelut politik.

"Sepatutnya, isu remeh temeh tidak dibincangkan secara serius di negara ini. Sebaliknya, yang lebih penting ialah berusaha memulihkan kestabilan politik dan ekonomi," katanya.

Katanya tempias dari kegawatan politik dan ekonomi dunia telah memberi kesan kejatuhan kemasukan FDI yang amat dirasakan oleh negara ini.

Seramai 600 pelajar menyertai konvensyen PUM selama empat hari di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Ulu Pauh.

Majlis penutup konvensyen itu malam tadi disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Yang turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian Perlis Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail. BERNAMA

Artikel Lain