suria

Kelantan guna saluran politik, diplomasi dapatkan royalti minyak

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan menggunakan saluran politik dan diplomasi untuk mendapatkan bayaran royalti minyak berjumlah RM1 bilion daripada kerajaan pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Datuk Husam Musa berkata kerajaan negeri juga mendapatkan pandangan daripada beberapa firma guaman mengenai aspek teknikal namun langkah itu masih di peringkat strategi.

Beliau berkata pihaknya yakin isu tuntutan royalti minyak dapat diselesaikan melalui saluran politik dan diplomasi. "Saya yakin Perdana Menteri (Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak) akan pertimbangkan surat yang diberikan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya menjawab soalan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor (PAS) Datuk Noor Zahidi Omar pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Husam berkata beliau yakin kerajaan pusat akan mempertimbangkan pemberian royalti itu kerana Terengganu, yang pelantar minyaknya terletak 220 kilometer di perairan negeri itu menerima bayaran royalti minyak.

Katanya pelantar minyak di Kelantan terletak 170 kilometer dari perairan Kelantan maka jarak lebih dekat itu mewajarkan kerajaan pusat membuat bayaran royalti minyak kepada Kelantan.

Beliau berkata nama pelantar minyak berkenaan juga menggunakan nama bahasa Melayu iaitu antaranya pelantar bunga raya, pelantar cakerawala dan pelantar bintang.

Katanya kesemua nama pelantar di dalam bahasa Melayu membuktikan ia milik syarikat Malaysia sekaligus Kelantan juga berhak membuat tuntutan royalti minyak.

Beliau berkata kerajaan negeri hanya meminta antara RM850 juta dan RM1 bilion daripada kerajaan pusat mengikut Akta Petroleum 1974, yang membolehkan negeri menerima royalti minyak sebanyak lima peratus daripada hasil perolehan petroleum.

Beliau berharap tiada diskriminasi dilakukan terhadap Kelantan dalam bayaran royalti itu seperti yang pernah berlaku kepada Terengganu semasa PAS memerintah pada 1999 hingga 2004 iaitu peruntukan itu ditukarkan kepada wang ehsan. BERNAMA

Artikel Lain