suria

Cap jari dua suspek kes pecah rumah dikenal pasti

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengenal pasti dua lelaki yang dilaporkan memecah masuk ke dalam rumah seorang ahli perniagaan bergelar Datuk di Petaling Jaya Isnin lalu berdasarkan penemuan beberapa kesan cap jari di rumah berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, penemuan cap jari berkenaan akan memudahkan siasatan polis bagi mengesan keduadua suspek.

"Kita sedang mengesan mereka dan siasatan lanjut masih dilakukan termasuk mengambil keterangan daripada pengawal keselamatan di rumah berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, rumah Datuk berkenaan yang terletak di Jalan Pantai dimasuki dua lelaki pada pukul 4.30 pagi ketika ahli perniagaan tersebut bersama isteri, dua orang anak serta dua pembantu rumahnya sedang tidur.

Kejadian itu berlaku selang sehari selepas kediaman milik seorang ahli politik yang bergelar Datuk di Seksyen 13, Shah Alam dipecah masuk sekumpulan tujuh penjenayah. Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, kesemua penjenayah warga Indonesia terbabit bukan sahaja melarikan barangan berharga dari kediaman Datuk berkenaan yang sedang melancong ke luar negara, malah merogol pembantu rumahnya secara bergilir-gilir. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain