suria

Cadangan debat Nik Aziz hanya buang masa - Rais Yatim

KUALA KLAWANG: Cadangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Mat mengadakan debat terbuka dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyelesaikan kekalutan politik antara UMNO dan PAS adalah sesuatu yang dianggap membuang masa.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata cadangan itu tidak membawa sebarang erti dalam menyelesaikan sebarang isu termasuk cadangan pembentukan kerajaan perpaduan oleh parti pembangkang itu.

"Sebaliknya adalah lebih baik untuk bermuafakat daripada berdebat kerana anggota PAS dan UMNO terdiri daripada kumpulan bangsa dan agama yang sama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung UMNO cawangan Kampung Gagu dekat sini hari ini.

Beliau, yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Jelebu, berkata tidak ada asas untuk mengadakan perdebatan dan adalah lebih baik untuk bermuafakat jika ada isu yang hendak dikemukakan.

Rais berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Menteri Besar Kelantan itu yang mengajak Najib sebagai Presiden UMNO mengadakan debat terbuka bagi menyelesaikan kemelut antara dua parti itu. "Tiba-tiba.....tiada ribut, tiada hujan maka kita nak debat.....apakah yang mahu diperdebatkan ?.

"Debat itu tidak akan menghasilkan apa-apa perkara, malah saya rasa ini bukan masanya bagi kerajaan ataupun Perdana Menteri untuk menghabiskan masa untuk berdebat," katanya.

Mengenai arahan kepada petugas media menghormati lagu 'Negaraku' pada majlis rasmi kerajaan, Rais berkata jurufoto dan jurukamera media asing turut tidak terkecuali dalam mematuhi peraturan tidak mengambil gambar semasa lagu kebangsaan dimainkan.

Semalam, beliau berkata kementeriannya akan menempatkan pegawai-pegawainya pada majlis rasmi kerajaan bagi memastikan hadirin termasuk petugas media menghormati lagu 'Negaraku' ketika dimainkan.

Peraturan itu bertujuan menghalang segelintir petugas media seperti jurufoto daripada berjalan-jalan sambil memetik kamera mereka ketika lagu kebangsaan dimainkan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain