suria

Pengedar arak ditembak mati

JOHOR BAHARU: Seorang pengedar minuman keras yang mempunyai kilang di Kota Kinabalu, ditembak mati di hadapan isteri dan kakak iparnya di Persiaran Molek di Taman Molek di sini hari ini.

Wong Bak Wei, 42, yang berasal dari Sarawak ditembak di bahagian kanan kepalanya dari jarak dekat oleh penyerangnya yang sebelum itu melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) Wong.

Kejadian berlaku pada pukul 9.55 pagi ketika Wong bersama isteri dan kakak iparnya dalam perjalanan ke Taman Jaya untuk membeli barangan keperluan selepas menghantar anaknya ke sebuah pusat tuisyen berhampiran tempat kejadian.

Polis berkata sebuah kereta Toyota Vios melanggar bahagian tepi Toyota Estima Wong menyebabkan Wong memberhentikan keretanya di tepi jalan dan turun untuk memeriksa kerosakan pada keretanya akibat pelanggaran itu.

Ketika itu penyerangnya juga keluar dari kereta dan melepaskan tembakan menyebabkan Wong mati di tempat kejadian, kata Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Roslan Zainuddin.

Isteri dan kakak ipar Wong yang berada dalam kereta ketika kejadian tidak dicederakan.

Beliau berkata polis kini menyiasat sama ada kejadian itu mempunyai kaitan dengan sesebuah kumpulan atau saingan perniagaan dan sama ada Wong mempunyai musuh atau rekod jenayah lampau.

Polis menolak kejadian bermotifkan rompakan kerana penyerang itu tidak mengambil barangan mangsa, katanya.

Mayat Wong dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi hotline polis 07-2212999 atau balai polis berhampiran. BERNAMA

Artikel Lain