suria

Obama harap Malaysia bantu proses bebas nuklear di Semenanjung Korea

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sewaktu bercakap melalui telefon dengan Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama di kediamannya di Jalan Duta. foto - BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sewaktu bercakap melalui telefon dengan Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama di kediamannya di Jalan Duta. foto - BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sewaktu bercakap melalui telefon dengan Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama di kediamannya di Jalan Duta. foto - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat Barack Obama telah melahirkan harapan agar Malaysia dapat memainkan peranan dalam proses dan usaha membebaskan Semenanjung Korea daripada senjata nuklear berikutan program senjata nuklear Korea Utara.

Harapan itu dinyatakan oleh Obama kepada Datuk Seri Najib Tun Razak ketika Presiden Amerika Syarikat itu menelefon Perdana Menteri semalam.

Selepas perbualan 20 minit itu, Najib memberitahu Bernama bahawa Obama telah menyatakan langkah yang telah dan sedang diambil oleh Washington ke arah membebaskan Semenanjung Korea daripada senjata nuklear.

Najib berkata pendirian Kuala Lumpur adalah sama bahawa Pyongyang tidak harus memiliki senjata nuklear dan usaha sedemikian akan meningkatkan ketegangan di Semenanjung Korea serta membawa ketidakstabilan di rantau itu.

"Malah keseluruhan Semenanjung Korea patut bebas daripada senjata nuklear," kata Najib. Malaysia telah melahirkan kebimbangan berhubung perkembangan terbaru di Semenanjung Korea dan telah mengutuk ujian nuklear Korea Utara barubaru ini.

Malaysia bersama banyak negara lain konsisten bahawa isu program senjata nuklear Korea Utara perlu diselesaikan melalui Rundingan Enam Pihak yang melibatkan Korea Utara, Korea Selatan, Jepun, China, Russia dan Amerika Syarikat.

Najib berkata beliau juga bersetuju dengan permintaan Obama bagi kemungkinan Malaysia melibatkan diri dalam proses pembangunan semula di Afghanistan.

Namun Najib berkata ia adalah untuk tujuan keamanan bagi membantu membina semula Afghanistan yang telah lebih 30 tahun dilanda perang dan konflik dalaman.

Katanya langkah itu adalah bagi mewujudkan keamanan berpanjangan dan tidak melibatkan elemen ketenteraan.

"Dia (Obama) sedar kita ada pengalaman luas masa menentang Komunis. Dia mengalualukan kalau Malaysia dapat menyertai dalam apa juga bentuk bantuan yang difikirkan sesuai," katanya.

Najib berkata Obama juga meminta Malaysia memainkan peranan membantu membuka ruang berdialog dan usaha mengadakan hubungan yang lebih luas antara Amerika dan Iran berikutan hubungan baik yang lama terjalin di antara Kuala Lumpur dan Tehran.

Katanya Obama telah menyatakan agar Iran tidak akan mencari jalan menghentikan program senjata nuklearnya dan turut berharap segala resolusi Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (PBB) mengenai Iran dan Korea Utara dapat dikuatkuasakan.

Washington memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran pada 7 April, 1980 berikutan pendudukan kedutaannya di Tehran di mana 52 diplomatnya dijadikan tebusan pada November 1979.

Sejak itu, keduadua negara itu terus bercakaran terutama mengenai program nuklear Iran di mana negara itu berkata ia adalah untuk pembangunan tenaga. Bagaimanapun, Amerika dan negara Eropah lain menganggap Iran sedang berusaha membangunkan program senjata nuklear dan mengenakan sekatan terhadap negara itu. BERNAMA

Artikel Lain