suria

Kesatuan, perpaduan jadi tunjang utama negara - PM

KUALA LUMPUR: Kesatuan dan perpaduan antara rakyat adalah asas paling penting dalam memacu negara ke depan bagi mencapai citacita negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, ini kerana kesatuan dan perpaduan daripada semua rakyat akan menjadi tunjang kepada masa depan negara dan segala cita-citanya.

"Tiada guna kalau kita ada ramai cerdik pandai, hasil dari bumi, teknologi paling tinggi tetapi segalanya tidak berpaksi kepada kesatuan dan perpaduan," katanya semasa melancar logo 1Malaysia serta program senam seni di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Menggunakan perhimpunan yang disertai hampir 11,500 orang yang memakai bajut pelbagai warna Jalur Gemilang sebagai analogi, Najib berkata, perhimpuan itu telah dapat dijayakan kerana semua pesertanya mempunyai satu matlamat dan hala tuju yang sama.

"Walaupun pakaian berlainan warna, tapi dalam perhimpunan ini, saudara-saudari bergerak sederap menuju ke satu matlamat.

"Ini bererti kalau kita ada satu ikatan seperti ini, (ia merupakan) ikatan yang kukuh dan teguh.

"Dari analogi inilah, dah cukup pengertiannya bahawa masa depan negara ini dan segala cita-cita yang mahu dicapai negara kita mesti bertunjang kepada kesatuan dan perpaduan. Inilah asas yang paling penting," katanya.

Artikel Lain