suria

Isu Manohara-Tengku Muhammad Fakry masalah peribadi

KUALA LUMPUR: Istana Kelantan hari ini menegaskan bahawa isu perkahwinan antara Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra dan isterinya Cik Puan Manohara Odelia Pinot ialah isu peribadi mereka berdua.

Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad dalam satu kenyataan yang difakskan kepada Bernama, berkata isu itu juga tidak sesekali berkaitan dengan Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra, Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra yang juga Tengku Mahkota Kelantan dan Pejabat Sultan Kelantan.

Abdul Halim berkata kenyataan ini dibuat mengikut titah perintah Tengku Muhammad Faris.

"Adalah diharapkan isu ini dapat diselesaikan melalui proses undang-undang yang sedia ada dengan seadil-adilnya. Saya berharap juga mereka berdua diberi ruang secukupnya untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri," kata Abdul Halim.

Ini kali pertama Istana Kelantan mengeluarkan kenyataan berhubung isu rumah tangga Tengku Muhammad Fakry selepas Manohara melarikan diri ketika pergi melawat Sultan Ismail Petra yang sedang mendapatkan rawatan di Singapura pada Mei lepas.

Masalah perkahwinan mereka itu mendapat liputan hangat dan meluas oleh media terutama di Indonesia.

Ia berterusan apabila Manohara, seorang bekas peragawati popular di Indonesia dilaporkan bertindak memfailkan saman sivil terhadap suaminya manakala Tengku Muhammad Fakry pula membuat laporan polis mengenai fitnah ke atas dirinya oleh Manohara dan ibu mertuanya Daisy Fajarina.

Sementara itu, Abdul Halim turut memaklumkan bahawa Sultan Kelantan masih dirawat di Hospital Mount Elizabeth di Singapura dan baginda dalam keadaaan stabil.

Katanya, semua keluarga diraja terdekat juga berada di Singapura.

"Segala aktiviti hiburan di negeri Kelantan khususnya yang berkaitan dengan Pejabat Sultan hendaklah mengambil kira dengan keadaan semasa ini," katanya.

Beliau turut meminta semua pihak berdoa agar Sultan Ismail Petra cepat sembuh dan segala masalah yang berkaitan dengan Istana selesai dengan sempurna. BERNAMA

Artikel Lain