suria

Terkena tomyam panas: Rayuan kanak-kanak 26 Oktober

KUALA LUMPUR: Rayuan seorang kanak-kanak, yang melecur terkena tomyam panas di sebuah restoran, terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkan permohonan penyanyi Amy Search untuk membatalkan saman terhadapnya, didengar 26 Okt ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Lau Bee Lan menetapkan tarikh itu dalam kamarnya hari ini selepas kes itu disebut untuk diuruskan.

Pada 30 Jan lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Sabariah Othman membatalkan saman yang difailkan kanak-kanak itu Nik Muhammad Zakwan Nik Zahir, 3 tahun, melalui bapanya Nik Zahir Nik Mohd Idris, 31, terhadap Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 50.

Sabariah membuat keputusan itu selepas bersetuju dengan hujahan peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar, mewakili Amy, bahawa Amy tidak patut disaman atas kapasiti sebagai individu dalam tuntutan itu kerana pemilik sebenar bagi restoran itu ialah syarikat IconHill Sdn Bhd dan anak guamnya hanyalah seorang pemegang saham dan ahli lembaga pengarah IconHill.

Pada 24 Sept tahun lepas, kanak-kanak itu memfailkan saman cuai terhadap Amy, kerana mendakwa pekerja Restoran Cheng Ho cuai sehingga menyebabkan bahagian belakang badannya melecur.

Pada 6 Okt pula, Amy memfailkan permohonan untuk membatalkan saman dan pernyataan tuntutan kanak-kanak itu.

Kanak-kanak itu diwakili peguam Adnan Seman. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain