suria

Polis buru 12 lagi penghuni Pusat Serenti yang larikan diri

BUTTERWORTH: Polis terus mengadakan operasi memburu 12 lagi penghuni Pusat Serenti Tasek Gelugor dekat sini yang melarikan diri dalam rusuhan di pusat berkenaan pada 19 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Zulkifli Ilias berkata kesemua penghuni berkenaan dipercayai berada di sekitar Pulau Pinang, Kedah serta Perak dan usaha mengesan mereka giat dijalankan.

Ketika dihubungi, beliau berkata pihaknya telah menghubungi polis di Kedah dan Perak untuk membantu mengesan 12 penghuni itu supaya mereka dapat ditahan semula secepat mungkin.

Katanya daripada 30 orang yang melarikan diri, 18 berjaya ditahan semula dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, di sini hari ini atas tuduhan menyertai perhimpunan haram serta menyebabkan kemusnahan tujuh blok bangunan di pusat itu.

"Saya menasihatkan 12 penghuni itu supaya menyerah diri di balai polis berhampiran secepat mungkin kerana tindakan itu akan membantu proses mitigasi mereka di mahkamah kelak," katanya.

Zulkifli berkata berdasarkan maklumat daripada penghuni yang berjaya ditahan semula, kesemua 12 penghuni itu tidak melarikan diri terlalu jauh dan mereka bersembunyi bersama-sama.

Beliau yakin polis dapat mengesan mereka berdasarkan maklumat peribadi dan alamat rakanrakan serta keluarga.

Terdapat 522 penghuni yang menjalani pemulihan di Pusat Serenti Kampung Selamat dan kejadian rusuhan Jumaat lepas dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati sekumpulan penghuni yang ditahan di sel pusat itu kerana didapati positif dadah.

Tindakan penghuni yang berada dalam sel memaki hamun pegawai dan petugas pusat itu menarik perhatian penghuni lain yang berada di luar sel dan akhirnya menimbulkan kekecohan serta rusuhan.

Ada di antara mereka yang bertindak membakar dan merosakkan beberapa blok bangunan yang menempatkan pusat latihan dan pejabat pentadbiran serta merosakkan beberapa kenderaan milik pusat itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain