suria

Kerani tidak mengaku salah kurung isteri 3 hari

KUANTAN: Seorang kerani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mengurung, mengugut dan mencederakan isterinya selama tiga hari di rumah mereka.

Mohd Haris M.Satha, 41, dituduh mengurung dengan salah isterinya, Malati Rahman, 32, di rumah mereka di No 11, Lorong Bukit Setongkol Maju 17 di sini dari pukul 11 pagi pada 13 Jun lepas sehingga 5 pagi pada 15 Jun.

Dia dituduh mengikut Seksyen 340 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan sekiranya didapati bersalah boleh dihukum penjara maksima setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Haris didapati melakukan ugutan jenayah terhadap Malati di rumah mereka dengan menyatakan untuk memasukkan Malati ke dalam guni dan dibuang ke dalam gaung dengan niat hendak menyebabkan ketakutan yang mendatangkan kecederaan atau kematian kepadanya.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mohd Haris juga dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya di rumah yang sama pukul 11 pagi pada 13 Jun dan bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau keduaduanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh tidak diwakili peguam sementara pendakwaan dijalankan oleh Cif Insp T. Murugesu.

Bagi ketiga-tiga kesalahan itu, Majistret Nordiana Abd Aziz pada mulanya menetapkan Mohd Haris diikat jamin sebanyak RM9,000 setelah mengambil kira pandangan pihak pendakwaan agar tidak mengenakan jaminan terhadap mangsa kerana bimbang dia akan kembali mengancam nyawa isteri dan lima anak mereka.

"Jika tertuduh dikenakan jaminan, tertuduh akan kembali mengancam mangsa kerana mereka masih suami isteri dan demi keselamatan mangsa, saya memohon supaya tertuduh tidak diikat jamin," kata Murugesu.

Bagaimanapun, Mohd Haris merayu supaya mahkamah mengurangkan jaminan tersebut kerana dia hanya berpendapatan RM700 sebulan dan perlu menanggung lima orang anak serta ibunya yang sakit jantung.

Nordiana kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi semua pertuduhan dengan dua penjamin dan meletakkan syarat tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan ahli keluarga lain dalam apa saja bentuk komunikasi.

Tertuduh membayar wang jaminan tersebut. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain