suria

Hayati Konsep '1MALAYSIA' supaya tidak terpesong dengan dakyah Pembangkang - TPM

IPOH: Gagasan '1Malaysia' perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini supaya tidak terpesong dengan dakyah parti pembangkang yang hanya mahu memperalatkan konsep itu demi kepentingan politik masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata di sebalik gagasan itu terkandung hasrat pucuk pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mengutamakan kepentingan rakyat supaya negara kekal bersatu padu.

"Rakyat pelbagai kaum dan keturunan, agama dan budaya akan dapat terus kekal di bawah lembayung BN, meneruskan segala usaha memajukan negara untuk menjadi negara maju.

"Ia satu gagasan yang penting untuk membentuk semangat kerjasama dan perpaduan tulen di kalangan rakyat," katanya ketika berucap pada majlis jamuan rakyat di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di sini semalam.

Katanya gagasan yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya telah lama dijadikan asas dalam membentuk kerjasama dalam BN demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Muhyiddin berkata konsep yang diperkenalkan BN itu ternyata terbukti banyak memberi faedah serta menjamin hak rakyat.

Oleh itu, tidak harus wujud kelompok dalam masyarakat merasa terabai dan tidak menerima perhatian adil atau saksama dari kerajaan, katanya.

Muhyiddin berkata pembangkang sengaja menceritakan segala kelemahan, membawa cerita tidak tepat selain pelbagai tuduhan terhadap kerajaan.

"Bagaimanapun, tiada siapa pun yang ada dalam negara kita tidak boleh menafikan kenyataan bahawa konsep atau pendekatan yang kita guna selama ini sebenarnya berjaya memupuk semangat kerjasama dan perpaduan," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata pelan perancangan Rancangan Malaysia ke10 (2011 hingga 2015) akan mengutamakan semua isu dan masalah rakyat semua kaum yang belum diselesaikan sebelum ini.

Sejurus selepas majlis tersebut, beliau mengadakan perjumpaan tertutup dengan Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak sebelum berlepas pulang ke ibu negara dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini.BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain