suria

Dera: Polis tunggu keterangan pembantu rumah

KUALA LUMPUR: Polis belum merekodkan keterangan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa dipukul dan didera oleh majikannya memandangkan mangsa masih berada dalam keadaan trauma.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata mangsa, Modesta Rengga Kaka, 26, kini berada dalam keadaan tertekan ekoran kejadian itu dan masih menjalani rawatan di Hospital Ampang.

"Kami kini hanya menunggu untuk mengambil keterangan daripada mangsa bagi melengkapkan kertas siasatan dan semalam keterangan daripada majikan dan jiran mangsa telah pun diambil," katanya ketika dihubungi.

Modesta, yang berasal dari Kupang, Nusa Tenggara Timur, Indonesia mendakwa dipukul majikannya sejak dua bulan lalu sebagai denda kerana didakwa tidak pandai melakukan kerja harian.

Mangsa yang bekerja dengan majikannya sejak November dua tahun lepas juga mendakwa diseksa dan tidak dibayar gaji.

Bagaimanapun, penderitaannya berakhir apabila mendapat simpati jirannya yang menghubungi polis semalam bagi melaporkan kejadian itu.

Polis kemudian menyerbu rumah majikannya di Jalan 8, Kampung Baru Ampang sebelum bertindak menahan majikannya, seorang suri rumah berumur 37 tahun untuk siasatan lanjut.

Abdul Jalil berkata hasil pemeriksaan lanjut ke atas rumah itu, polis turut menemui sebatang rotan yang disyaki digunakan untuk memukul mangsa.

Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, katanya.

Sementara itu pegawai kedutaan Indonesia yang dihubungi Bernama berkata kedutaan sedang mengesan keluarga mangsa bagi memaklumkan kejadian itu secepat mungkin.

"Kami masih mencari keluarga mangsa berdasarkan alamat yang diberi olehnya bagi memaklumkan apa yang berlaku," katanya.

Beliau berkata hasil lawatan wakil kedutaan ke hospital semalam, pihaknya mendapati terdapat beberapa luka di telinga yang dipercayai dipukul dengan objek tumpul seperti kayu selain luka di badan mangsa.

"Mangsa mendakwa turut ditumbuk di kepala. Doktor telah pun membuat pemeriksaan dan ujian X-Ray di kepala dan tubuh badannya namun mangsa masih belum boleh bercakap banyak lagi," katanya.

Katanya mangsa akan ditempatkan di rumah perlindungan kedutaan selepas dibenarkan keluar dari hospital. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain