suria

Bekas Pengarah Jabatan Kebajikan Sabah hadapi dua tuduhan rasuah

KOTA KINABALU: Bekas Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri Sabah Datuk Mastor Samin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan rasuah melibatkan kontrak bernilai RM10,000 yang diberikan kepada syarikat milik isterinya.

Hakim Caroline Bee Majanil kemudian menetapkan tarikh perbicaraan kes itu dari 1 Mac hingga 5 Mac tahun depan.

Beliau membebaskan tertuduh dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan. Mastor membayar wang ikat jamin itu.

Mengikut kertas pertuduhan, Mastor, 57, dituduh menggunakan jawatannya sebagai Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajian Am Negeri Sabah untuk mendapatkan suatu suapan apabila mengarahkan Dosmin Lojum menyerahkan wang Bantuan Geran Pelancaran sebanyak RM8,000 kepada tertuduh bagi pembelian mesin jahit, kain dan benang daripada Rodeah Enterprise yang dimiliki isterinya Rohani Abdul Rahman.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 di bawah akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Mastor juga menghadapi tuduhan mengikut akta yang sama dengan mengarahkan Shamsuri AlMalek mendapatkan bekalan mesin, kain dan benang berharga RM2,000 daripada Rodeah Enterprise milik isterinya.

Dalam sebutan kes hari ini, tertuduh tidak diwakili oleh peguam manakala Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) diwakili Timbalan Pendakwa Raya Kavin Morais. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain