suria

Penganggur dihukum gantung kerana bunuh teman wanita

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang penganggur setelah didapati bersalah membunuh teman wanitanya empat tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah membuat keputusan itu setelah mendapati Cheong Kam Kuen, 44, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah ketika dipanggil membela diri.

Dalam penghakimannya, Azman berkata berdasarkan keterangan saksi, Cheong berada dalam keadaan sedar ketika kejadian pembunuhan itu dan tertuduh tahu perbuatannya yang memukul dan mencederakan mangsa boleh membawa maut.

Katanya, kecederaan yang dialami mangsa, Liew Pai Sea, 27, seorang pegawai khidmat pelanggan (GRO), amat teruk terutama pada bahagian muka, badan dan kepala malah tengkuknya telah patah.

"Berdasarkan fakta, tertuduh berniat melakukan pembunuhan ke atas mangsa. Dia tahu perbuatannya cukup bahaya. Mahkamah telah mendengar keterangan tertuduh bahawa dia dalam keadaan amat marah dan ada pengaruh dadah tetapi dengan meneliti keterangan pakar (ketika bedah siasat) terdapat begitu banyak kecederaan serta dijumpai talitali yang diikat pada badan mangsa. Saya mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah," katanya.

Cheong didakwa membunuh Liew di bilik 3022, Hotel Fugisan, No 45, Jalan Imbi antara pukul 11 malam pada 22 Feb 2005 hingga 7 pagi 23 Feb 2005.

Ketika hukuman dijatuhkan Cheong kelihatan hiba dan beberapa kali memandang ke arah galeri awam.

Sepanjang perbicaraan pihak pendakwaan memanggil 12 orang saksi dan hanya Cheong yang memberi keterangan ketika dipanggil membela diri.

Sementara itu sebelum hukuman dijatuhkan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fuad Othman memberitahu, Cheong pernah dihukum penjara tiga bulan dan enam sebatan pada 1990 atas kesalahan senjata api dan beliau berharap hukuman yang dijatuhkan terhadapnya akan menjadi pengajaran kepada masyarakat.

Dalam prosiding lepas, beberapa saksi memberitahu mangsa ditemui dalam keadaan bogel dan diikat dengan tali serta kepalanya cedera parah hingga darahnya mengalir keluar dari bilik hotel itu.

Cheong diwakili peguam Lee Teong Hooi. BERNAMA

Artikel Lain