suria

MT Umno mahu PPSMI diperhalusi

KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) Umno mahu Kementerian Pelajaran memperhalusi beberapa cadangan dan pandangan mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebelum sebarang keputusan muktamad dicapai.

Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata MT yang bermesyuarat semalam telah mengemukakan pandangan itu selepas Timbalannya yang juga Menteri Pelajaran membentangkan mengenai pilihan yang boleh diambil berkaitan dasar berkenaan.

"Kita telah mendengar apakah opsyen-opsyen yang terbuka, dan MT mengambil maklum tentang pelaksanaan PPSMI dan kesannya dari segi pencapaian Sains dan Matematik.

"MT juga telah memberi sedikit pandangan dan cadangan kepada Kementerian Pelajaran untuk diperhalusi secara lebih mendalam... kita juga memberi opsyen yang terbuka untuk ditentukan sama ada dasar ini nak diteruskan ataupun nak dilakukan rombakan dan kajian semula," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

Najib menegaskan pendirian kerajaan berhubung dasar berkenaan akan diumumkan tidak lama lagi.

Bagaimanapun jelasnya, hasil kajian tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat jemaah menteri terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan diumumkan.

Sebelum ini, Muhyiddin berkata hasil kajian secara menyeluruh mengenai dasar PPSMI akan diumum awal bulan depan.

Malah beliau berkata akan turut mengumumkan langkah-langkah mengatasi masalah ekoran pelaksanaan PPSMI, antaranya penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar kawasan bandar dan luar bandar.

Artikel Lain