suria

Kuota dan had umur antara cadangan pindaan Umno

KUALA LUMPUR: Penetapan "Hari Pemilihan Umno" dan menghapuskan sistem kuota adalah antara cadangan yang terkandung dalam draf cadangan konsep pemilihan dan pindaan Perlembagaan Umno.

Turut termasuk dalam draf cadangan yang dipersetujui Jawatankuasa Teknikal Pindaan Perlembagaan Umno itu ialah mengenai had umur Ketua Puteri dan anggota pergerakan itu.

Draf cadangan yang disiarkan di laman web http://umnoonline.com, dan turut mempelawa orang ramai memberi pandangan berhubung 10 cadangan yang dikemukakan itu, akan dibawa ke bengkel pindaan perlembagaan sebelum ke Jawatankuasa Induk untuk dibentang pada Perhimpunan Agung Umno Khas, Oktober ini.

Draf cadangan itu menyatakan satu hari akan ditetapkan sebagai "Hari Pemilihan Umno" oleh Jawatankuasa Pemilihan Umno setelah dipersetujui Majlis Tertinggi dan ia akan diadakan serentak di 191 Bahagian Umno.

Turut dicadangkan di bawah Fasal 28 Peraturan Persidangan ialah pemilihan Ahli Majlis Tertinggi diadakan secara berasingan daripada pemilihan Jawatankuasa Bahagian dan Jawatankuasa Cawangan.

Turut dicadangkan ialah pemilihan Jawatankuasa Bahagian diadakan terlebih dahulu dari Jawatankuasa Cawangan yang akan dijalankan semasa Persidangan Cawangan.

Mengenai Fasal 9.5 Perlembagaan Umno melibatkan sistem kuota atau kriteria calon bertanding, dicadangkan supaya sistem kuota dihapus dan diganti dengan kriteria tertentu bagi ahli yang ingin menawar diri bertanding.

Mengenai had umur Puteri Umno pula, dicadangkan had umur ahli dinaikkan kepada 40 tahun yang dikira pada 1 Jan tahun berkenaan dan Ketua Puteri kepada 45 tahun.

Draf cadangan itu juga menyentuh mengenai Fasal 25.1 Perlembagaan Umno mengenai Yuran Tahunan dan Yuran Seumur Hidup iaitu dicadangkan supaya yuran pendaftaran ahli baru dipinda kepada Yuran Seumur Hidup.

Manakala ahli lama diberi tempoh selama tiga tahun untuk menjadi ahli seumur hidup bagi tujuan proses pemutihan parti.

Cadangan lain ialah mengenai penubuhan Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) di peringkat Pusat, Negeri, Bahagian termasuk di semua peringkat pergerakan sayap. (Fasal 10.15 Perlembagaan Umno dan Fasal 28.1 Peraturan Persidangan).

Cadangan itu menyebut bahawa presiden berhak melantik Pengerusi JPU yang akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas Jawatankuasa itu, manakala Ahliahli Jawatankuasa ditentukan Pengerusi yang akan dicadangkan Badan Perhubungan Negeri.

Cadangan lain melibatkan korum atau cukup bilangan persidangan (Fasal 11 Peraturan Persidangan), wakil calon, hari penamaan calon, pendaftaran keahlian (Fasal 5 Perlembagaan Umno) dan hak ahli dengan meminda hak ahli di bawah Fasal 6.3.4.

Mengenai pendaftaran ahli, dicadangkan supaya borang permohonan menjadi ahli boleh diterima dan ditandatangani ketua cawangan atau ketua wanita cawangan atau ketua pemuda cawangan atau ketua puteri cawangan termasuk permohonan yang dibuat secara online.

Menurut laman web itu, pihak yang mempunyai cadangan atau pandangan berkaitan konsep pemilihan dan pindaan Perlembagaan Umno, boleh mengemukakannya dengan menghantar emel ke alamat [email protected]. BERNAMA

Artikel Lain