suria

Kerajaan perpaduan: PAS berpecah bukan konspirasi Umno - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menafikan perpecahan yang berlaku dalam PAS ekoran isu kerajaan perpaduan sekarang kononnya berpunca daripada konspirasi Umno dan Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya Perdana Menteri berkata, perpecahan yang berlaku mungkin disebabkan perbezaan pendapat dalam PAS sendiri berhubung idea penubuhan kerajaan perpaduan yang dilontarkan sendiri oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Macam mana mainan Umno, sebab dia (PAS) yang cadangkan. Yang syorkan kerajaan perpaduan ialah PAS.

"Dalam PAS ada pelbagai pendapat, tak semestinya itu pendapat pucuk pimpinan sebab ada pihak yang setuju dan ada pihak yang tak setuju," kata Najib yang juga Presiden Umno selepas majlis perasmian Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2009 di sini hari ini.

Idea itu yang disambut baik oleh Umno-BN telah ditolak oleh Pakatan Rakyat kelmarin atas alasan ia fitnah Umno-BN.

Beliau mengulas mengenai majlis himpunan perdana yang akan dianjurkan Pakatan Rakyat Selasa depan bagi menjelaskan kekeliruan dan dakwaan wujudnya konspirasi yang ditimbulkan Umno dan BN untuk menghancurkan Pakatan Rakyat.

Mengulas mengenai kekecewaan yang dilahirkan oleh banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu berikutan idea pembentukan kerajaan perpaduan tidak menjadi kenyataan, Pengerusi BN itu berkata, sepatutnya perpaduan di kalangan umat Islam dan rakyat perlu diperjuangkan.

"Dalam hal ini, perpaduan dan usaha-usaha untuk penyatuan umat Islam adalah sesuatu yang wajib diperjuangkan," katanya.

Tambah beliau, isu perpaduan perlu menjadi keutamaaan dan tidak patut dipolitikkan.

"Jangan soal politik mengatasi apa yang dituntut oleh agama, kerajaan perpaduan menjangkaui soal politik... ini soal kepentingan bersama," katanya.

Mengulas sama ada perpaduan di kalangan umat Islam bertentangan dengan konsep 1Malaysia yang dibawanya, Najib berkata, kepentingan masyarakat bukan Islam akan tetap dipertahankan.

"Sekiranya ada kerajaan perpaduan, tidak bererti kita tolak bukan Islam, bukan Islam tetap ada peranannya dalam kerajaan.

"Kepentingan mereka akan sentiasa dilindungi oleh kerajaan," katanya.

Artikel Lain