suria

KDN sedia pinda akta di bawah bidang kuasanya untuk disesuaikan dengan keadaan semasa

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meminda mana-mana akta di bawah bidang kuasa kementerian itu yang dilihat perlu ke arah penambahbaikan dan bersesuaian mengikut keadaan semasa, kata Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata akta-akta sedia ada digubal ketika negara berada dalam pelbagai ancaman termasuk darurat dan konfrontasi yang memerlukan undang-undang baru yang lebih lengkap dan relevan.

"Ada kelemahan dan kekurangan dalam akta (sedia ada) yang mungkin ketinggalan zaman dan akan kita pinda."

"Kita perlu lakukan perubahan dan jangan pula jejaskan tugas utama dan tanggungjawab (yang) kita pikul iaitu memastikan kestabilan, keselamatan dan kepentingan bangsa dan tanah air kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Peralatan Am Polis (GPEC) 2009 di sini semalam.

Katanya KDN dan agensi di bawahnya sedia berdepan dengan rakyat dalam melakukan pindaan akta ini walaupun sedar tindakan itu mungkin tidak popular di mata rakyat.

"Esok di Parlimen saya akan jawab berhubung isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam usaha kita untuk melihat kepada kedudukan ISA, pindaan, dan tindakan selanjutnya...termasuk akan umumkan berapa ramai yang ditahan di sehingga kini di bawah ISA," katanya.

Hishammuddin berkata penambahbaikan kepada akta-akta sedia ada adalah perlu memandangkan ancaman ketika ini sangat berbeza jika dibandingkan ancaman ketika akta-akta sedia ada digubal dahulu.

"Jenayah yang berhubung kait dengan keganasan, perdagangan manusia, masalah dadah yang diseludup tanpa sempadan ini menuntut kaedah undang-undang yang baru dan sesuai dengan landskap sedia ada," katanya.

Sementara itu, beliau berkata KDN tidak akan terburu-buru dalam membeli dan mendapatkan peralatan baru bagi meningkatkan keupayaan pegawai-pegawai mereka dan jabatan itu sendiri.

"Bergantung kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Kawasan Hasilan Utama (KRA) yang akan diumumkan tidak lama lagi untuk membeli perkakas baru.

"Suka atau tidak suka kita perlu membeli alat-alat dan perkakas termoden bagi membantu kita mencapai sasaran tadi (KPI dan KRA)...Contohnya ragut, lihat perkakas yang sesuai, bagaimana hendak selaraskan apa yang kita ada dan kita bina selama ini," katanya. BERNAMA

Artikel Lain