suria

GMP yakin kerajaan akan mansuhkan PPSMI

PETALING JAYA: Gerakan Mansuhkan PPPSMI (GMP) berharap Kementerian Pelajaran akan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) apabila keputusannya diumumkan awal bulan depan.

Susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri kelmarin, Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad berkata, kerajaan perlu segera melaksanakan keputusan tersebut bagi mengelakkan lebih ramai pelajar yang lemah bahasa Inggeris menghadapi masalah menguasai mata pelajaran Matematik dan Sains.

"Mereka (Kementerian Pelajaran Malaysia) seharusnya membetulkan sistem pengajaran bahasa Inggeris di sekolah sebelum mereka laksanakan PPSMI.

"Saya lihat itu adalah cara yang lebih baik daripada kerajaan laksanakan PPSMI. Kerajaan perlu tahu ramai pihak yang menentang dasar ini sejak dari mula ia diperkenalkan lagi," katanya kepada mStar Online ketika diminta mengulas mengenai keputusan mengenai nasib dasar PPSMI yang akan dapat diketahui awal Julai.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan mengenai PPSMI akan diumumkan awal bulan depan selepas analisis pelaksanaan dasar tersebut dibentangkan kepada Kabinet dalam tempoh terdekat ini.

Menurut Muhyiddin, analisis menyeluruh dan kertas mengenai hala tuju PPSMI sudah siap dan akan dibentangkan kepada Kabinet untuk mendapatkan keputusan muktamad mengenainya.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Hassan berkata, sejak dasar PPSMI dilaksanakan peranan Bahasa Malaysia semakin terpinggir dan perkara tersebut merugikan pelajar itu sendiri.

"Kita tidak boleh amalkan sistem pengajaran yang sama seperti zaman British memerintah negara ini. Bahasa Melayu telah wujud 200-300 tahun dahulu, ia boleh digunakan oleh guru-guru untuk mengajar subjek Sains dan Matematik.

"Saya lihat tidak ada masalah pun kalau buat begitu," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, GMP masih tidak mengetahui sama ada Kementerian Pelajaran akan memansuhkan atau meneruskan dasar PPSMI itu.

"Kita harap mereka mansuhkan PPSMI kerana beribu-ribu pelajar cemerlang yang dapat 7 hingga 8A tidak dapat kuasai bahasa Inggeris akan hadapi masalah.

"Kita perlu bersikap adil kepada semua pelajar," katanya.

Artikel Lain