suria

Dua belas kes baru H1N1 dikesan

PUTRAJAYA: Sebanyak 12 kes baru Influenza A (H1N1) dikesan sepanjang 24 jam lalu, dengan 10 kes import baru dan tambahan dua jangkitan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata daripada keseluruhan kes yang dikesan semalam, tiga melibatkan warga asing, dua orang rakyat Yemen dan seorang rakyat Indonesia manakala selebihnya adalah rakyat tempatan yang telah melawat dan berada di negara-negara terjejas dengan wabak itu, Singapura, United Kingdom, Thailand, Filipina, Australia dan Amerika Syarikat.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 80 kes iaitu 69 kes import dan 11 kes jangkitan tempatan.

"Bilangan sekolah yang ditutup masih kekal empat sekolah dan tiga sekolah kekal diarah tutup satu daripada kelasya," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa teknikal kebangsaan mengenai Influenza A (H1N1) di sini, hari ini.

Beliau berkata jumlah kes terkumpul yang disiasat kerana disyaki jangkitan Influenza A (H1N1) adalah sebanyak 1,619 kes.

Kes seterusnya adalah juga warga Yemen, berumur 22 tahun dan pelajar Asian Life Skill Sdn Bhd, yang juga rakan serumah kes ke-77. Beliau juga adalah kontak kepada kes ke-63.

Dr Ismail berkata kes ke79 ialah seorang warga tempatan, pramugari yang berusia 38 tahun. Beliau pulang ke Malaysia dari Jeddah dengan menaiki pesawat MH151 pada 19 Jun dan terus ke Pulau Pinang dengan pesawat MH1166 pada hari yang sama.

Kes terakhir yang dikesan setakat ini adalah seorang pelajar lelaki warga Malaysia, berumur lapan tahun, yang pulang bercuti dari Melbourne, Australia.

Beliau yang menetap di Melbourne, adalah adik kepada kes ke-60 yang juga seorang pelajar di Melbourne.

"Kesemua pesakit yang telah dimasukkan ke wad adalah stabil dan sedang menerima rawatan antiviral. Sehingga 8 pagi tadi, seramai 44 pesakit masih berada di hospital dan disahkan positif Influenza A(H1N1)," kata Dr Ismail.

Kesemua 44 pesakit itu berada di Hospital Sungai Buloh (24 orang), Hospital Kuala Lumpur (4 orang), Hospital Pulau Pinang (4 pesakit), Hospital Ipoh (seorang), Hospital Alor Setar (3 orang), Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Kelang (4 orang), Hospital Tuanku Jaafar, Seremban ( 2 orang) dan Hospital Umum Sarawak (2 orang).

Dr Ismail berkata Kementerian Kesihatan sedang mengesan kesemua kontak, terdiri daripada penumpang bas dan krew penerbangan dan penumpang bagi penerbanganpenerbangan yang terlibat terutama di tiga tempat duduk hadapan dan belakang kes-kes yang telah disahkan positif.

Mengenai penutupan sekolah, beliau berkata semua ibu bapa pelajar sekolah terbabit juga diminta untuk memastikan anakanak mereka terus berada di rumah dan tidak pergi ke tempattempat awam atau menghadiri kelas tuisyen atau kelas agama.

"Semasa tempoh kuarantin, murid sekolah yang terlibat hendaklah terus berada dalam rumah dan mereka tidak dibenarkan untuk keluar rumah bagi tujuan menghadiri tuisyen, kelas agama atau majlis keramaian," katanya.

Keseluruhanya, beliau berkata sehingga semalam, kontak yang diletakkan di bawah kuarantin rumah kini adalah seramai 628 orang termasuk 164 kontak baru yang dikesan dikuarantin dan keadaan mereka stabil tanpa simptom jangkitan Influenza.

Sehingga hari ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa jumlah kes terkumpul kes Influenza A (H1N1) adalah sebanyak 53,110 kes dengan 232 kematian dari 99 negara iaitu pertambahan 423 kes dari semalam.

Negara yang melaporkan pertambahan kes tertinggi adalah Australia (124 kes), China (112 kes), New Zealand (61 kes), Jepun (43 kes) dan Nicaragua (43 kes).BERNAMA

Artikel Lain